Jokowi adakan lawatan di Malaysia, dijadual jumpa Anwar

Iklan
Anwar, Jokowi. - Foto Bernama.

PUTRAJAYA - Presiden Indonesia Joko Widodo akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai Rabu, yang disifatkan sangat signifikan dalam usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Semasa lawatan itu, Joko Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi, dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menilai kemajuan bidang kerjasama dan membincangkan isu-isu dua hala yang tertunggak.

Iklan
Iklan

"Perdana Menteri dan Presiden juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan isu-isu serantau dan global termasuklah pengukuhan ASEAN pasca 2025.

"Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian yang akan ditandatangani oleh wakil-wakil kementerian dan agensi berkaitan dari kedua-dua negara,” menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).

Iklan

Presiden akan diiringi isteri, Iriana Joko Widodo, Menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan Indonesia.

Menurut kenyataan itu, Jokowi turut dijadual menghadiri majlis santapan petang bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Iklan

Pada tahun 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (US$29.55 bilion), peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (US$22.98 bilion) pada 2021. - Bernama.