PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar yang ditangguhkan sebelum ini susulan cuaca panas.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Norisah Suhaili menerusi surat siaran dan garis panduan yang dikeluarkan berkata, kebenaran tersebut berkuat kuasa pada Selasa.
"Mengambil kira situasi terkini, KPM membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar dengan memastikan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta anggota kumpulan pelaksana semasa berhadapan dengan fenomena cuaca panas terjamin," katanya.
Sementara itu, Garis Panduan Aktiviti Luar Insitusi di bawah KPM menetapkan aktiviti luar bilik darjah boleh dilaksanakan di dalam suhu kurang 35°C dengan langkah kawalan dan tahap berjaga-jaga.
Semua penyertaan murid di dalam aktiviti luar bilik darjah adalah dilaksanakan secara sukarela dan mendapat kebenaran ibu bapa.
Kemudahan penyejukan seperti kanopi, ais, tuala basah perlu disediakan di bawah garis panduan tersebut.
Murid digalakkan membawa air minuman dan minum sebelum, semasa dan selepas aktiviti diadakan.
Selain itu, pelaksana perlu membuat penyesuaian tempoh, waktu mula dan tamat acara atau aktiviti berdasarkan perubahan cuaca persekitaran.
Penerangan mengenai langkah pencegahan, simpton dan rawatan sekiranya mengalami gejala fenomena cuaca panas berlaku perlu diberikan kepada murid.
Sekiranya suhu cuaca melebihi 35°C, semua aktiviti luar yang sedang berlangsung perlu ditangguhkan.
Pada 4 Mei lalu, kementerian mengarahkan semua institusi pengajian di bawahnya supaya menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.
KPM memaklumkan, larangan itu termasuk merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.