KOTA BHARU - Sepasang suami isteri pengusaha akok tampil berani melakukan inovasi mengolah kuih tradisional Kelantan menjadi akok ikan.
Zaharah Mohd Nor, 43, dan Husin Muhamad, 44, mengusahakan akok berinti serunding ikan itu di rumah mereka di Rancangan Kemajuan Tanah, Chalil, Gua Musang sejak dua tahun lalu.
Menurut Zaharah, proses penghasilan akok ikan agak rumit berbanding akok biasa kerana perlu menghasilkan serunding khas untuk kuih itu bagi menggelakkan bau hanyir.
"Beberapa kali percubaan pada peringkat awal tidak menjadi sehingga saya merubah resipi dan dapat menghasilkan serunding yang tidak hanyir untuk digunakan bagi membuat akok ikan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.
Dia berkata, hanya ikan jenis selayang segar yang akan digunakan dan permulaan jualan sebanyak 200 kuih berinovasi itu kini semakin hari semakin meningkat kepada 6,000 sebulan.
"Pelanggan yang pernah mencuba kuih ini akan mengulangi tempahan dan saya semakin yakin akok ikan akan mendapat tempat lebih ramai orang.
"Perusahaan saya turut mendapat sokongan daripada pihak Jabatan Perikanan yang menyumbang pembakar kuih bernilai hampir RM10,000 bagi meningkatkan pengeluaran,” ujarnya.
Wanita itu berkata, sebanyak tiga kilogram ikan selayang diperlukan bagi menampung pengeluaran akok ikan dalam tempoh sebulan.
"Saya berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan ini dengan membina kedai yang lebih besar pada masa depan.
"Ketika ini saya hanya menjual kuih ini di gerai di hadapan rumah dengan harga RM1 sebiji,” katanya..