Kisah inspirasi OKU buta dari Tanah Suci

Iklan
Muhammad Bukhara dan Siti Aidah menunjukkan keupayaan mereka mendengar pesanan mesej melalui telefon bimbit.

MAKKAH - Hadir sebagai orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan mengerjakan haji bagi pandangan manusia normal bukanlah satu tugas yang mudah kerana di Tanah Suci kerana banyak cabaran perlu ditempuhi.

Untuk menguruskan diri di bilik penginapan dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain juga cukup menyulitkan kerana semuanya berbeza dengan suasana di tanah air.

Iklan
Iklan

Paling mencabar ialah ketika mahu menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram seperti melakukan tawaf dan saie kerana perlu bersesak dengan jemaah yang ramai dari negara-negara lain.

Tetapi apabila ditanya mengenai semua cabaran berkenaan, jawapan diberikan oleh pasangan suami isteri OKU dari Kuala Lumpur yang menjadi tetamu ALLAH pada tahun ini cukup memberi inspirasi bahawa semuanya boleh diatasi apabila sentiasa berfikiran positif.

Iklan

Muhammad Bukhara Zakaria, 64, dan isterinya, Siti Aidah Mustapha, 52, ketika ditemubual wartawan mengenai perjalanan haji mereka banyak berkongsi kekuatan dalam diri warga OKU yang jarang ada dalam diri manusia normal lain.

Hadir tanpa pengiring tetap untuk membawa mereka ke mana-mana, pasangan berkenaan yang dibantu petugas Tabung Haji (TH) dan rakan sebilik sudah berjaya mengikuti beberapa aktiviti yang dijadualkan untuk jemaah.

Iklan

Kata Muhammad Bukhara, di Madinah dia dan isteri berjaya memasuki Raudhah dua kali dan perjalanan ke taman syurga itu berjalan dengan lancar walaupun ramai umat Islam tertumpu di Masjid Nabawi.

Bukhara dan Siti Aidah ditemani petugas haji ke bilik penginapan mereka.

"Saya nak bagi markah 100 peratus kepada petugas TH dan rakan sebilik di Madinah yang jaga kami dengan baik selama enam hari berada di sana. Semua perkara jadi lancar dengan bantuan mereka semua,” katanya.

Katanya, dengan keupayaan mereka suami isteri berada di Tanah Suci tanpa memberikan masalah kepada pihak TH, diharapkan ia akan menjadi satu penanda aras bahawa selepas ini tidak sukar bagi OKU untuk menunaikan haji.

Siti Aidah pula berkata, jemaah lain sentiasa membantu setiap kali melihat dia keluar daripada bilik penginapan.

"Mesti ada yang mahu tolong pimpin saya untuk ke Masjid Nabawi dan apabila masuk ke sana saya rasa amat seronok, satu perasaan yang sukar digambarkan,” katanya.

Mengulas mengenai kelancaran pergerakannya semasa berada di sini, Siti Aidah berkata, ia mungkin didorong oleh doa yang sering dititipkannya supaya dipermudahkan segala urusan.

"Keluarga dan anak-anak semuanya bimbang dengan keadaan kami tapi saya kata tidak perlu fikir perkara yang menyusahkan, fikir yang baik-baik dan sentiasa berserah kepada ALLAH,” katanya.

"Sebagai OKU, kita juga harus berusaha untuk berdikari dengan semaksimum mungkin kerana tidak mahu mengganggu fokus ibadah jemaah lain yang ada urusan peribadi masing-masing,” katanya.

Siti Aidah berkata, di tanah air dia sudah biasa bersesak dan sentiasa menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan LRT untuk ke tempat kerja di sebuah syarikat konglomerat terkenal.

Sementara itu, seorang jururawat lelaki, Khairul Anuar Ramli tidak keberatan untuk berkongsi pengalamannya bertugas pada tahun pertama sebagai petugas haji di sini.

Khairul Anuar

Katanya, dugaan yang dihadapi amat berat kerana kehilangan ibu tercinta, Kamaliah Abd Hamid, 69, pada 3 Jun lalu selepas dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainon di Ipoh, Perak akibat muntah dan sesak nafas.

"Apabila berada di sini, saya kena reda dengan ketentuan ALLAH dan anggap ia sebagai dugaan.

"Saya sebenarnya sedih dan terkejut tetapi apabila berada di Tanah Suci dan tidak dapat pulang, saya hanya mampu berdoa agar roh ibu saya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.

Katanya, kali terakhir bertemu dengan ibunya pada Aidilfitri lalu.

"Pada masa itu ibu memang gembira saya dapat datang ke sini, tapi tak sangka itu adalah pertemuan terakhir kami,” katanya sambil menahan sebak.