CDM puji atlet 'luar biasa' di Kemboja capai sasaran emas

Iklan
Noor Syahieda - Foto Bernama

KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Para ASEAN (APG) 2023, Noor Syahieda Mat Shah memuji semangat juang atlet 'luar biasa' yang mampu mencapai sasaran 33 pingat emas buat negara seawal hari keempat temasya dwitahunan itu berlangsung di Kemboja, pada Selasa.

Beliau berkata, kredit harus diberikan kepada barisan atlet dan jurulatih yang telah berpenat lelah menjalani latihan tanpa jemu dalam mempersiapkan diri mereka untuk menggalas cabaran Malaysia yang akan melabuhkan tirainya pada Jumaat ini.

Iklan
Iklan

"Mereka (atlet) menggunakan kudrat sendiri untuk bermain acara yang disusun secara back-to-back (padat) jadi sudah semestinya pujian harus diberikan kepada mereka.

"Atlet juga langsung tidak pernah merungut berkenaan apa-apa, jadi bagi saya sasaran emas ini untuk mereka dan negara," katanya selepas gandingan Chee Chaoming-Brady Chin menghadiahkan emas ke-33 buat Malaysia menerusi acara beregu ping pong lelaki (Kelas 9- masalah keseimbangan ringan).

Iklan

Emas keramat itu hadir semalam selepas gandingan negara menundukkan pasangan Filipina Linard Combras dan Benedicto Hernandez, 11-8, 11-7 dan 11-8, pada aksi final di Dewan Pingpong, Stadium Morodok.

Noor Syahieda berkata, atlet negara yang akan mengambil bahagian berbaki tiga hari temasya seharusnya menggunakan peluang itu untuk mengumpul sebanyak mungkin pingat apabila tiada lagi tekanan buat mereka.

Iklan

Malaysia kini mempunyai 33 emas, 27 perak dan 18 gangsa dan berada pada kedudukan keempat carta pungutan pingat setakat jam 8 pagi waktu Malaysia pada Rabu.

Majlis Paralimpik Malaysia sebelum ini menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada penampilan di Kemboja. - Bernama