Keluarga Hawari bersedia dengan sebarang kemungkinan

Iklan
Che Tom ketika ditemui wartawan di rumahnya di Kampung Permatang Kerai Besar pada Rabu.

TASEK GELUGOR - Keluarga pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim bersedia menerima sebarang kemungkinan selepas misi mencari dan menyelamatnya telah ditamatkan pada Selasa.

Ibunya, Che Tom Hassan, 64, berkata, meskipun semua ahli keluarga masih menaruh harapan tinggi yang Hawari akan pulang tidak lama lagi, namun mereka reda sekiranya perkara sebaliknya berlaku.

Iklan
Iklan

"Saya dah bersedia, semua keluarga dah bersedia dengan sebarang kemungkinan...Namun sebagai ibu, saya masih mengharapkan Hawari dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui media di kediamannya di Kampung Permatang Kerai Besar, di sini pada Rabu.

Hadir menziarahi keluarga Hawari, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Dua, Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor.

Iklan

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) iaitu orang kurang upaya (OKU) pendengaran Muhammad Hawari Hashim yang hilang sejak 19 Mei lepas ditamatkan pada Selasa.

Pengurus pasukan ME2023, Ayu Wanirah Naharudin dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, beliau menerima maklumat daripada ketua misi itu, Azim Afif Ishak bahawa dron yang digunakan bagi operasi SAR berdepan masalah untuk menerima gambar dan video yang dirakam.

Iklan

Selain masalah dron, Ayu Wanirah berkata, pasukan operasi SAR turut bergelut dengan syarikat pengendali helikopter yang telah dilantik apabila ia memanggil balik juruterbang untuk pulang ke negara asalnya di Jerman.

Sementara itu, Che Tom berkata, adik Hawari, Muhammad Ismail,28, dan menantunya, Mohamad Azhar Ilias,35, akan berlepas ke Nepal bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamad pada Khamis.

Beliau berkata, tujuan ahli keluarga ke sana bagi mendapatkan perkembangan yang terkini berhubung status pencarian Hawari.

"Memang setiap masa kami menantikan sebarang berita mengenai Hawari dari sana tambahan pula sekarang misi mencarinya telah ditamatkan.

"Sekurang-kurangnya bila ada wakil keluarga di sana, kami akan dapat maklumat lengkap berhubung operasi mencari Hawari," katanya.

Pada 20 Mei lalu media melaporkan berkaitan kehilangan seorang pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim.

Kehilangannya dilaporkan selepas dia telah berjaya menawan puncak tertinggi tersebut pada 18 Mei semasa dalam perjalanan turun dari Kem Empat.

Susulan itu, satu misi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan bagi mencari Hawari.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian kerajaan dengan menghulurkan sumbangan sebanyak RM1.46 juta bagi digunakan dalam misi mencari dan menyelamat Hawari.