GEORGE TOWN - Tiga beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu terhadap pertuduhan bergaduh di tempat awam bulan lepas.
Oo Teck Yeon, 55, isterinya, Chuah Chew Teng, 54, dan anak mereka, Oo Cheng Sing, 28, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah, di sini kira-kira jam 11.20 pagi, 8 Mei lepas.
Semua mereka yang didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil manakala semua tertuduh diwakili oleh Zainal Akram Zainal Azahar.
Majistret Mohamad Azlan Basri menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 11 Julai untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan enam individu daripada dua keluarga selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Tanjung Bungah, yang dipercayai berpunca setelah tidak berpuas hati dengan punca kemalangan. - Bernama