KIEV - Kejadian sebahagian struktur empangan hidroelektrik di selatan Ukraine yang pecah dikhuatiri mengubah ekosistem secara kekal walaupun keadaan itu mengambil masa beberapa bulan dan mungkin hingga bertahun untuk dipastikan.
Limpahan air dari kawasan takungan Kakhovka juga dijangka membentuk semula peta Kiev, habitat dan mengubah mata pencarian selain mengancam komuniti yang bergantung kepada sumber tersebut untuk aktiviti pertanian dan operasi kolam penyejuk di loji nuklear Zaporizhzhia.
Ia mungkin memaksa pemindahan penduduk di beberapa bandar, sekali gus menganggu keseimbangan ekologi secara halus.
"Terdapat kesan 'malapetaka' kepada alam sekitar," kata Menteri Alam Sekitar Ukraine, Ruslan Strilets merujuk kepada kira-kira 150 tan minyak yang turut melimpah keluar ketika kejadian tersebut.
Ketika ini, para saintis di Kiev sedang menunggu air surut sebelum dapat melakukan penilaian penuh impaknya kepada alam sekitar.
Bekas Menteri Ekologi, Ostap Semerak bagaimanapun memberi amaran ia berpotensi menjadi bencana ekologi terburuk sejak malapetaka Chernobyl pada 1986.
"Ia boleh memberi impak besar kepada Romania, Georgia, Turkiye dan Bulgaria serta seluruh rantau ini," ujarnya sambil menambah senario terburuk yang mungkin berlaku adalah ia berisiko mengancam kompleks Zaporizhzhia untuk tempoh jangka masa panjang selain menyebarkan
agrotoksik dan petrokimia ke Laut Hitam melalui aliran banjir dari bandar-bandar terjejas.
Beberapa pakar percaya insiden itu juga bertujuan untuk memperlahankan pelan operasi serangan balas dilancarkan Ukraine.
Sejak Selasa, ribuan penduduk dipindahkan dari 24 perkampungan yang tenggelam di Nova Kakhovka selepas paras Sungai Dnipro melimpah disebabkan kejadian tersebut.
"Lebih 40,000 penduduk diancam banjir. Kira-kira 25,000 penduduk perlu dipindahkan segera di kawasan Dnipro yang dikawal tentera Rusia," kata Ketua Pendakwa Raya, Andriy Kostin.
Sementara itu, penasihat Presiden, Oleksiy Kuleba memberitahu proses pemindahan itu akan dilakukan selama beberapa hari menggunakan bas dan kereta api. - Agensi