MELAKA - Dua rakan termasuk seorang pembantu kedai didenda RM5,000 oleh mahkamah sesyen di sini, pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mencuri pelbagai barang termasuk telefon bimbit serta wang tunai, dua tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Affendee Haron dan Mohammad Nizam Said masing-masing berusia 30 tahun selepas mereka menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pindaan.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, mereka didakwa bersama-sama mencuri beg, telefon bimbit Redmi 9S, kad Hong Leong Bank, tiga kad Public Bank, kad Maybank dan wang tunai RM650 milik Lim Sian Yik, 40, di Jalan Bukit Serindit, Taman Bukit Serindit di sini, kira-kira jam 6.15 petang pada 10 Februari 2021.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya,jika sabit kesalahan.
Terdahulu kedua-dua tertuduh didakwa melakukan samun mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK), namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pindaan selepas dua saksi memberi keterangan.
Mengikut fakta, kejadian berlaku apabila pengadu yang tiba di rumah rakan di Taman Bukit Serindit dan ketika turun dari motosikal dua lelaki tidak dikenali telah mencuri beg yang diletakkan di dalam bakul motosikal pengadu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan orang ramai lebih-lebih lagi wang tunai dna telefon bimbit tidak dapat ditemui semula.
Peguam, Datuk Aravindhakshan MNV Pillai dan Faathir Imran Firdaus, masing-masing mewakili Affendee dan Mohammad Nizam merayu hukuman denda dikenakan mengambil kira pengakuan bersalah mereka yang telah menjimatkan masa dan kos mahkamah selain kedua mereka telah insaf dan menyesali perbuatan jenayah tidak akan mendatangkan hasil.
Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.