PERENANG muda, Lee Kher Zy belum berpuas hati dengan prestasi semasanya walaupun berjaya memenangi pingat emas menerusi acara 200 meter (m) rampaian individu lelaki (SM5 - kecacatan fizikal), pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik, Stadium Morodok Techo, Phnom Penh pada Rabu.
Atlet berusia 16 tahun itu atau lebih dikenali sebagai 'Zy' itu, menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mampu menamatkan perlumbaan dengan catatan 3 minit 28 saat seperti yang dibuat pada kejohanan Itali bulan lalu, namun catatan masa 3:32.57s hari ini sudah cukup untuk membolehkan beliau membawa pulang pingat emas.
"Saya tahu boleh buat lebih baik daripada catatan hari ini, jadi saya mahu secepat mungkin kembali berlatih selepas tamat APG. Sasaran saya sudah pasti mahu bekerja keras dan sentiasa membuat Malaysia bangga.
"Saya pernah rekod 3:28s tetapi hari sekadar 3:3s jadi memang jauh dari catatan peribadi terbaik saya, mungkin salah satu kuak saya agak salah, tetapi saya akan cuba lagi pada kejohanan akan datang," katanya yang mempertahankan pingat sama pada edisi lalu di Solo, Indonesia.
Beliau bagaimanapun seharusnya boleh mendabik dada kerana berjaya memadam rekod kejohanan 3:35.06s yang dibuat perenang Vietnam, Vo Thanh Tung pada APG 2015, yang mencatatkan 3:36.17s meraih gangsa.
Pingat perak dimenangi perenang Indonesia Mulyadi Mulyadi (3:32.72s).
"Saya berterima kasih kepada keluarga, rakan dan barisan jurulatih kerana sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada saya. Apa yang saya lakukan hari ini adalah bagi memastikan karier saya dalam sukan renang sentiasa berada dalam tahap terbaik.
"Memang tiada sesiapa yang meletakkan tekanan kepada saya namun saya yang meletakkan jangkaan besar buat diri sendiri," katanya.
Pelajar SMJK Chung Ling Butterworth, Penang itu pada Isnin memenangi pingat emasnya yang pertama menerusi acara 200m gaya bebas. - Bernama