SHAH ALAM - Baru berusia empat bulan, adik Sufi Syafrina yang pada mulanya disangkakan demam biasa, namun sebaliknya meleset apabila disahkan menghidap penyakit genetik jarang berlaku iaitu Atrofi Otot Spina (SMA), Jenis 1.
Bapa kepada bayi berkenaan, Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata, anaknya memerlukan rawatan suntikan jenis Zolgensma bernilai RM9.28 juta untuk kesan pulih seumur hidup.
"Sufi dibawa ke Hospital Kajang pada Mei lalu akibat demam bagaimanapun, situasinya bertambah buruk kerana secara tiba-tiba menghadapi kesukaran bernafas menyebabkan pihak hospital terpaksa melakukan bantuan penafasan menggunakan mesin untuk menyelamatkan nyawanya.
"Anak saya kemudiannya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tunku Azizah (HTA) dan pihak hospital mengesahkan Sufi bukan demam biasa setelah ujian darah dilakukan," katanya ketika di hubungi pada Rabu.
Beliau berkata, pihaknya kini berdepan masalah kewangan untuk mencukupkan jumlah bagi tujuan rawatan dan berharap rakyat negara ini sudi menghulurkan bantuan.
"Saya merayu kepada rakyat Malaysia agar dapat membantu bagi meneruskan rawatan, tidak kira berapa jumlah sumbangan yang diterima saya cukup berterima kasih kepada mereka yang sudi membantu menyelamatkan Sufi.
Ujar Shafiq lagi, setakat ini wang yang terkumpul kira-kira RM2,000 hasil dari usahanya dan ahli keluarga yang lain.
"Saya tidak akan tunggu saat akhir untuk memohon sumbangan ini kerana masa yang diberikan oleh doktor itu tidak panjang.
"Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh terus ke akaun Maybank di 162021568704 atas nama Mohd Shafiq Idrus," katanya.