PH tidak pernah 'usik' agenda Islam, Melayu - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah 'mengusik' agenda Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu yang menjadi nadi utama parti itu.

Malah katanya, pendirian parti tersebut turut dihormati semua gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Iklan
Iklan

"Mereka menghormati pendirian parti kita kerana terdapat dalam Perlembagaan UMNO bahawa keempat-empat unsur ini wajib dipertahankan dan mereka bersetuju.

"Saya tidak nampak ada permasalahan kononnya kita terpaksa menggadai maruah dan sebagainya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menyempurnakan Majlis Perasmian Skuad Sayang 3K Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Rabu.

Majlis itu merupakan acara sampingan bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang bermula pada Rabu hingga Sabtu ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut membidas kenyataan pemimpin pembangkang yang terus mempersoalkan kerjasama antara BN dan PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Kenapa Pas boleh, bila kita buat kononnya kita ingin menggadai Islam dan Melayu? Jadi, mereka harus tanya diri mereka sebab Pas telah melakukan perkahwinan muta'ah politik beberapa kali dengan pelbagai parti termasuk DAP," katanya.