SHAH ALAM - Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) mengutuk keras tindakan seorang pelawak wanita dipercayai warga Singapura yang mencemuh nama Malaysia di dalam satu persembahan komedinya.
Pengerusinya, Datuk Seri Halim Ishak berkata, tindakan biadab wanita tersebut di dalam pertunjukan Comedy Cellar yang tular ketika ini di laman media sosial boleh mengundang rasa kebencian serta merosakkan hubungan baik kedua-dua negara berjiran.
Sehubungan itu tegasnya, MCCF menuntut wanita tersebut secara terbuka membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tegasnya, wanita terbabit bukan sahaja memperlekeh tahap pembangunan negara berbanding dengan republik tersebut, malah secara bersahaja mempermainkan tragedi MH370.
"MCCF mengutuk keras sikap biadab dan permainan lawak yang sengaja meniup api kebencian rakyat Malaysia.
"Tindakan tersebut satu yang keterlaluan dan tidak boleh diterima oleh mana-mana pihak terutama kepada mereka yang kononnya telah maju ke hadapan.
"Inikah sifat sebuah negara yang membangun dengan memiliki rakyat yang cetek pemikirannya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Halim berkata, tindakan wanita tersebut seakan-akan mendapat sambutan dan sokongan daripada kumpulan penonton yang hadir pada persembahan tersebut.
Menurut beliau, sorakan dan gelak ketawa jelas kedengaran daripada penonton setiap kali wanita tersebut mempersendakan Malaysia.
Kata beliau, perkara seumpama itu seharusnya tidak boleh berlaku kerana perbuatan mencerca sesebuah negara bukan satu tindakan bijak.
"MCCF berasa cukup terkilan dengan sifat kumpulan penonton yang dilihat begitu teruja dan gembira melihat adegan tidak senonoh itu.
"Lebih mengecewakan, lawak menghina kapal terbang Malaysia yang terhempas turut diraikan dengan gelak ketawa," ujarnya.