HETR dijangka sumbang RM61 bilion KDNK negara - Anwar

Iklan
Anwar - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) dijangka mampu menyumbang sehingga RM61 bilion terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Inisiatif itu juga antara lain bakal mewujudkan sebanyak 45,000 peluang pekerjaan.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan tersebut diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Sains Negara pada Rabu.

"HETR ini menyokong Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040.

Iklan

"Dasar ini akan diperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan dijangka dilancarkan pada akhir bulan ini.

"HETR secara strategik akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan global yang sangat menguntungkan kerana pasaran global bagi hidrogen hijau diunjurkan mencapai AS$189.19 bilion pada tahun 2050," katanya ketika sidang media yang diwakili Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang di Pusat Sains Negara pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, HETR telah mula digunakan oleh beberapa negara luar bagi meneroka penggunaan hidrogen antaranya dalam sektor mobiliti, industri dan sektor-sektor intensif tenaga yang lain.

Matlamat itu juga selaras dengan sasaran peralihan tenaga, keperluan penyahkarbonan serta selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Mesyuarat Majlis Sains Negara yang turut melibatkan beberapa kementerian ini bakal menjadi platform bagi menetapkan hala tuju dan dasar STI negara melalui penglibatan kerajaan, industri dan akademia untuk membina kepercayaan di antara kerajaan dengan rakyat, berlandaskan ketelusan dan kerjasama.

Ini termasuk persetujuan untuk memperkasa pelajaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang akan dikemudi Kementerian Pendidikan.

MOSTI, ujarnya lagi, telah melaksanakan inisiatif dan projek berkaitan teknologi hidrogen meliputi penjanaan dan mobiliti hidrogen menerusi kerjasama antara agensi dan industri tempatan.

"Di Malaysia, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Sarawak Energy Berhad telah bekerjasama dalam pengeluaran komersial hidrogen hijau dan penerokaan rantaian bekalan nilainya di Asia bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga bersih global.

"Antaranya melalui pengukuhan keupayaan penyelidikan, peningkatan pengetahuan dalam teknologi serta pembangunan berkaitan hidrogen," katanya lagi.