Pindah pesakit guna tangga tak patut berlaku

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

INSIDEN kerosakan lif di bangunan kesihatan seperti yang tular berlaku di Hospital Melaka hingga terpaksa memindahkan pesakit memerlukan bantuan pernafasan menggunakan tangga tidak sepatutnya berlaku.

Insiden tersebut bukan sahaja memalukan tetapi menakutkan kerana lif tersebut amat penting kepada orang ramai terutama pesakit.

Iklan
Iklan

Difahamkan ada di antara lif di hospital itu tidak berfungsi dan rosak berbulan-bulan lamanya.

Meskipun Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem mengakui insiden itu di luar jangkaan tetapi sebenarnya telah beberapa kali kejadian lif rosak dan menyebabkan ramai yang terperangkap.

Iklan

Sepatutnya individu berkepentingan dan berjawatan tinggi di kementerian membuat lawatan mengejut di hospital berkenaan bagi mengetahui masalah yang berlaku di peringkat akar umbi.

Ia penting kerana melibatkan nyawa rakyat. Tidak semua berkemampuan mengambil insurans dan mendapatkan rawatan di hospital swasta yang lebih selesa.

Iklan

Sungguh kasihan kerana kemudahan lif itu bukan sahaja digunakan oleh pesakit dan pengunjung, malah kakitangan hospital.

Bayangkan bila lif rosak, ada antara kakitangan yang terpaksa membawa barang-barang berat ke tingkat atas dengan menaiki tangga.

Sudah tiba masanya menteri di bawah Kerajaan Madani, selalu-selalulah buat pemeriksaan.

Bukan nak tuding jari kepada sesiapa tetapi ia salah satu cara untuk kenal pasti masalah, baiki dan tambah baik kelemahan-kelemahan yang ada dalam perkhidmatan demi keselesaan rakyat.

Penulis percaya jika usaha itu dapat dilakukan, bukan sahaja masalah Hospital Melaka dapat diberikan perhatian malah turut melibatkan premis kesihatan di negeri lain.

Turun dan lihatlah apa yang perlu diperbaiki, semak kerosakan yang ada dan cari penyelesaian agar perkhidmatan yang ada benar-benar dimanfaatkan untuk rakyat.

Janganlah tunggu ditularkan baru mahu bertindak dan turun padang. Ubahlah persepsi negatif segelintir orang ramai terhadap hospital kerajaan.

Rakyat wajar dan berhak mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Tiada siapa sebenarnya yang mahu dimasukkan hospital kecuali mereka yang benar-benar memerlukan rawatan.

Tubuh yang sihat adalah kunci kepada kenikmatan dalam menjalani kehidupan seharian. Tanpa nikmat itu, segala nikmat lain tidak begitu bermakna.

Walaupun Melaka mempunyai tiga buah hospital kerajaan dengan jumlah penduduk kira-kira sejuta, namun jarak antara kawasan yang dekat membuatkan penduduk lebih memilih untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka berbanding Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin.

Bagaimanapun, kedudukan Hospital Melaka di tengah-tengah pembangunan yang pesat di sekelilingnya telah menyebabkan kesesakan berganda dari sebelumnya.

Maka, rakyat pun berkeluh-kesah dengan kesulitan tersebut seolah-olah tiada penghujung.

Itu belum ditambah dengan kesesakan yang di bahagian wad bersalin dan juga kecemasan yang perlu diambil peduli.

Malah sebelum ini pelbagai janji pernah ditabur termasuk penambahan ruang parkir, bas shuttle ke Hospital Melaka dan pembinaan hospital baharu di daerah Melaka Tengah tetapi sehingga kini semuanya masih ‘tergantung sepi’.

Apatah lagi, negara menyaksikan beberapa kali perubahan tampuk pemerintahan yang sudah pasti sedikit sebanyak menjejaskan perancangan tersebut.

Diharap Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dapat meneruskan lawatan-lawatan mengejut seperti yang beliau lakukan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Selangor pada tahun lalu untuk melihat sendiri pengurusan kesihatan.

Penulis yakin bukan sahaja hospital Melaka yang perlu ditambah baik, malah banyak lagi hospital kerajaan lain berdepan isu kritikal terutama pada waktu puncak.

Lagipun bajet yang diumumkan untuk KKM tahun lalu bukan sedikit.

Justeru, ia harus dimanfaatkan agar rakyat tidak terus mempertikaikan ke manakah peruntukan tersebut disalurkan.

Kita tidak minta insiden-insiden yang tak sepatutnya di hospital kerajaan berlaku tetapi adalah lebih baik jika ia dapat dielakkan menerusi pemantauan yang dilaksanakan secara berterusan sama ada bagi mencari penyelesaian jangka pendek atau panjang.

* Nor Farhana Yaacob ialah Wartawan Sinar Harian Melaka