PUCHONG - Kawasan pertanian yang diusahakan warga asing dengan kelengkapan sumber air serta penempatan haram di Pulau Meranti di sini, digempur pada Khamis.
Serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu dijalankan dengan kekuatan 238 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sinar Harian yang turut menyertai operasi itu mendapati beberapa perusahaan tanaman telah siap dituai.
Ketika serbuan, terdapat warga asing yang cuba bersembunyi hampir 30 minit di kawasan semak sebelum berjaya dijumpai dan merayu agar tindakan tidak diambil terhadapnya.
Ada juga antara mereka yang berpura sakit dengan harapan tidak ditahan pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan itu berjaya menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lapan wanita yang bekerja sebagai tukang cuci serta pekebun.
Menurutnya, mereka membabitkan lima warga Bangladesh dan 17 Indonesia.
"Pemeriksaan di kawasan penempatan haram ini mendapati terdapat beberapa rumah yang dikelilingi kebun sayur seperti bendi, lobak dan bayam.
"Kita turut temui satu rumah pengumpulan sayur-sayuran yang dilengkapi alat penimbang untuk pemborong ambil selain penempatan yang dilengkapi surau yang dibina daripada lebihan kayu pembinaan dan dipercayai boleh memuatkan sehingga 30 orang," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan pada Khamis.
Beliau berkata, dipercayai terdapat kediaman haram itu dijadikan tempat sementara penginapan atau transit PATI.
Katanya, imigresen percaya ada yang tinggal tetap di sini, namun jumlah itu tidak ramai kerana tempat tersebut hanya dijadikan tempat bercucuk tanam atas faktor kesuburan tanah.
"Radius keluasan kawasan ini kira-kira 2.5 kilometer. Tempat ini ada sumber air kolam, mereka buat parit dengan kemudahan jambatan selain sumber elektrik menggunakan generator.
"Kita masih siasat berapa upah yang diterima PATI ini untuk kerja kebun dilakukan mereka. Berdasarkan soal siasat PATI yang ditahan, mereka dakwa sayur ini untuk pasaran sekitar kawasan ini," ujarnya.
Tambah Ruslin, pihaknya juga percaya PATI di kawasan ini sentiasa berwaspada dengan kehadiran pihak berkuasa selepas isu Pulau Meranti diuar-uarkan.
"JIM akan membuat semakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti pemilik tanah terbabit. Tindakan ke atas pemilik dan premis akan disusuli mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Tegas beliau, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.