DORTMUND bersetuju untuk menjual pemain tengah England, Jude Bellingham kepada gergasi Sepanyol, Real Madrid dengan bayaran permulaan €103 juta (AS$110.4 juta), menurut kelab Bundesliga itu dalam satu kenyataan.
Pemain berusia 19 tahun yang telah dikaitkan dengan beberapa kelab utama Eropah itu, menyertai Dortmund dari Birmingham City pada 2020 dengan harga £25 juta (AS$31.17 juta) sekali gus menjadi pemain berusia 17 tahun termahal dalam sejarah bola sepak.
Dia segera menyesuaikan diri untuk berada dalam kesebelasan utama Dortmund dengan mengemudi bahagian tengah dan telah memulakan lebih 30 perlawanan Bundesliga setiap dua musim terakhirnya di Jerman.
Pengendali England, Gareth Southgate menjadikan Bellingham pemain Inggeris termuda mewakili The Three Lions pada kejuaraan besar ketika kempen kejohanan Eropah 2021.
Tidak lama selepas itu Bellingham menjadi pemain tetap bahagian tengah England dan beraksi dalam semua lima perlawanan di Piala Dunia 2022 di Qatar sebelum disingkir Perancis pada aksi suku akhir.
Bellingham dikaitkan dengan kelab Liga Perdana Inggeris yang mahu membawanya pulang, termasuk Liverpool yang pengurusnya Jurgen Klopp berkata, kelab itu terpaksa menarik diri daripada perlumbaan untuk mendapatkannya kerana tanda harga pemain tersebut.
Di Real Madrid, dia akan menyertai Los Blancos yang kaya dengan bakat muda di bahagian tengah - Federico Valverde, Eduardo Camavinga dan Aurelien Tchouameni - ketika kelab itu ingin membina masa depan menggantikan Toni Kroos dan Luka Modric yang masih mengisi posisi nadi pasukan tersebut.
Dalam pada itu, pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti juga telah memberitahu hierarki kelab yang dia mahukan penyerang Tottenham Hotspur dan rakan sepasukan Bellingham di England, Harry Kane di kelab itu selepas pemergian Karim Benzema ke kelab gergasi Arab Saudi, Al Ittihad.
Sebelum itu, Bellingham berkata, mentaliti merupakan segala-galanya sekiranya seseorang pemain itu mahu pergi lebih jauh dalam karier.
"Matlamat sentiasa menang, apabila anda bertanya cita-cita terbesar saya dalam permainan. Dan saya tidak takut untuk mengatakannya kerana itu sememangnya mentaliti saya.
"Saya akan melakukan yang terbaik untuk mencuba dan merealisasikannya dan jika tidak, maka ia tidak akan berlaku kerana saya tidak bekerja keras untuk itu.
"Tetapi, ya, saya akan katakan rekod individu tidak menggembirakan saya tidak seperti menjulang kejuaraan trofi, jadi itulah matlamat saya," katanya.