KETIADAAN Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain yang digantung tiga perlawanan susulan keputusan tindakan tatatertib susulan layangan kad merah semasa perlawanan menentang PDRM FC pada pusingan pertama Liga Super 2023 tidak mematahkan semangat pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Penolong Ketua Jurulatihnya, Victor Andrag berkata, Sang Kenari masih mampu meneruskan momentum dan taktikal seperti yang dirancangkan oleh Nafuzi semasa menang 3-0 ke atas Perak FC pada saingan ke-14 Liga Super di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.
Beliau berharap momentum berkenaan dapat terus ditingkatkan kerana perjalanan liga yang masih panjang selain bakal berdepan saingan sengit bertemu Terengganu FC 3 Julai depan.
"Malam ini memang kita akan jangka akan dapat tiga mata di laman sendiri. Kita tidak mahu kalah lagi dan pemain telah memberikan yang terbaik dan berjaya mendapatkan tiga gol, apa lagi yang boleh kita mahu daripada mereka," katanya pada sidang media di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.
Pergantungan Nafuzi bermula pada aksi bertemu Perak FC dan ketua pasukan, Manuel Ott juga turut digantung dua perlawanan susulan kad merah pada perlawanan menentang PDRM tersebut.
Walaubagaimanapun, Victor menjelaskan masih lagi ada ruang kelemahan yang perlu dibaiki dan perkara tersebut sentiasa diberikan perhatian oleh barisan kejurulatihan pada setiap perlawanan.
"Sebenarnya setiap perlawanan kita kenalpasti kelemahan dan masalah ini akan kita atasinya semasa aksi perlawanan persahabatan semasa saingan liga super berehat buat sementara waktu," ujar beliau lagi.
Pada perlawanan tersebut, Amirbek Juraboev muncul hero KDA FC apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-26 dan 53 manakala satu lagi jaringan dihasilkan menerusi Willian Lira pada minit ke-67.
Kejayaan meraih kemenangan kesembilan daripada 14 perlawanan tersebut menyaksikan Sang Kenari berjaya mendaki satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga super buat sementara waktu dengan mengumpul 28 mata.