LIONEL Messi mengumumkan akan menandatangani kontrak bersama kelab Kejuaraan Liga Bolasepak Utama (MLS), Inter Miami, apabila memilih Amerika Syarikat sebagai destinasi karier seterusnya berbanding di Barcelona atau Arab Saudi.
Penyerang Argentina berusia 35 tahun itu, telah menghabiskan dua musim terakhir di Paris Saint-Germain, (PSG) bermain perlawanan terakhirnya untuk kelab tersebut pada Sabtu, selepas berpindah dari Barcelona pada 2021, di mana dia menghabiskan sebahagian besar kariernya.
Messi berkata, dia tidak mahu menunggu Barcelona mencari formula untuk menandatanganinya memandangkan keadaan kewangan kelab menyaksikan juara La Liga tidak dapat mengekalkannya sebelum berpindah ke PSG.
Sementara itu, MLS dan Inter Miami mengesahkan berita itu di media sosial, walaupun liga Amerika Syarikat tersebut menyatakan semua urusniaga dalam proses untuk dimuktamadkan dengan perjanjian rasmi.
"Saya telah mengambil keputusan akan ke Miami, saya tidak mempunyai (perjanjian) 100 peratus dimeterai atau mungkin ada sesuatu yang perlu dilakukan, tetapi kami memutuskan untuk meneruskan laluan ke sana.
"Saya membuat keputusan untuk meninggalkan Eropah selepas memenangi Piala Dunia dan tidak dapat ke Barca, sudah tiba masanya untuk pergi ke MLS untuk menjalani bola sepak dengan cara yang berbeza dan lebih menikmati kehidupan seharian saya.
"Jelas sekali dengan tanggungjawab dan keinginan yang sama untuk menang, dan melakukan sesuatu dengan baik, tetapi dengan lebih tenang," kata Messi.
Messi ialah pemenang Ballon d'Or tujuh kali dijangka memperoleh penghargaan individu sekali lagi selepas membawa Argentina menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar pada Disember lalu.
Komuniti bola sepak dunia sebelum ini menanti hala tuju baharu Messi selepas PSG mengesahkan minggu ini perancang Les Parisian itu, yang dianggap sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak, akan meninggalkan Paris.
"Jika ianya disebabkan soal wang, saya akan pergi ke Arab Saudi atau tempat lain.
"Ya, sememangnya lebih banyak melibatkan wang dan kebenarannya ialah keputusan saya pergi ke destinasi lain dan bukan untuk wang,” kata Messi.
Inter Miami, yang dimiliki bersama oleh bekas pemain England, David Beckham diasaskan pada 2018, memecat jurulatih Phil Neville minggu lalu dengan pasukan tercorot Konferens Timur.
Bagaimanapun beberapa laporan mengatakan penaja utama MLS termasuk jenama pakaian sukan Adidas dan Apple TV, yang memiliki hak penyiaran domestik liga, berkemungkinan menyumbang kepada perjanjiannya.