KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah penglihatan dinobatkan sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan pada Khamis.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, Khairulanwar Zakaria, 19, merupakan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) terbaik Terengganu dengan memperoleh keputusan 7A (5A,2A) dalam peperiksaan itu.
Anak bongsu daripada empat beradik itu mendapat A bagi subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Tasawwur Islam serta A bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.
Khairulanwar mengalami akibat masalah pada bahagian korteks otak yang telah disahkan sebagai 'both eyes cortical blindness' ketika berada di Tingkatan Satu.
Menurutnya, walaupun perubahan ke atas dirinya agak mengejutkan, kekurangan itu dijadikan pembakar semangat untuk lebih cemerlang dalam pelajaran.
"Kami sama-sama bersaing untuk berjaya. Saya ada seorang kawan lama yang dapat 'straight A', saya pun semakin bersemangat nak cuba juga dapat 'straight A' dan hasilnya, berkat doa ibu bapa dan guru saya mendapat keputusan cemerlang hari ini," ujarnya.
Khairulanwar ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM Terengganu 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini, pada Khamis.
Bercerita mengenai penyakit yang dialami, katanya, dia terpaksa menjalani proses pembelajaran sistem tulisan sentuh atau braille selama setahun ketika berada di Tingkatan Dua.
"Agak sukar untuk saya menguasai sepenuhnya tulisan braille dalam tempoh yang singkat namun untuk berjaya saya perlu kuasai tulisan itu.
"Sebab itulah saya perlu ulang kembali Tingkatan Dua ketika berusia 15 tahun," katanya.
Ditanya cabaran sepanjang proses pembelajaran setelah tidak lagi mampu melihat, Khairulanwar berkata, dia menjadikan kekurangan itu untuk terus bangkit dan tidak jemu menelaah pelajaran bersama rakan.
"Disebabkan saya agak kurang membaca, saya akan buka YouTube untuk dengar apa yang saya pelajari dan akan belajar secara berkumpulan bersama rakan secara dalam talian," katanya yang ditemani ayah, Zakaria Yunus, 59, dan ibu, Maznah Mohd, 56.
Menurut Khairulanwar, dia menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang pendidik dan berhasrat menyambung pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Cheras.
"Saya menyimpan impian nak jadi seorang guru untuk mengajar Pendidikan Khas dan Pendidikan Islam,"ujarnya.