LCS: Tempoh pembinaan, perubahan spesifikasi faktor peningkatan kos

Iklan
Adly Zahari - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Tempoh pembinaan dan perubahan spesifikasi antara faktor utama yang menyebabkan berlaku peningkatan kos dalam projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) sehingga RM11.2 bilion.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, mengikut Kontrak Tambahan Keenam (SA6) yang ditandatangani baru-baru ini, ia memerlukan tambahan 83 bulan bagi tempoh pembinaan.

Iklan
Iklan

"Apabila kita bersetuju untuk meneruskan projek LCS ini, sudah pasti kita memerlukan tempoh. Kalau kita tengok perjanjian asal itu sepatutnya kapal LCS pertama itu dapat kita siapkan pada 2019 pembinaannya. Jadi, pertambahan 83 bulan itu memberikan beberapa kos.

"Antara penambahan kos terbesar adalah perubahan spesifikasi berdasarkan kepada keperluan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Kerajaan meluluskan spesifikasi bagi Surface-to-Surface Missile System, Decoy Launching System (DLS) dan beberapa sistem lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai garis waktu projek LCS dapat dimulakan semula dan sama ada ia dapat diselesaikan sebagaimana perancangan awal iaitu untuk ditauliahkan bagi kegunaan TLDM pada 2026.

Adly menjelaskan, perubahan spesifikasi tersebut adalah satu keperluan pertahanan negara, manakala SA6 yang ditandatangani pada 26 Mei lepas merupakan tarikh permulaan bagi memulakan kerja-kerja semula pembinaan LCS.

Iklan

Katanya, berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung perjanjian tambahan itu, kapal LCS pertama dapat disiapkan pembinaannya pada November 2024 sebelum melalui beberapa penilaian oleh pihak TLDM sendiri.

Justeru, beliau berkata, kapal LCS pertama dijangka dapat ditauliahkan kepada kegunaan TLDM pada akhir tahun 2026.

SA6 adalah untuk mengubah kontrak, antara lain dengan terma dan syarat penting bahawa penyambungan semula semua aktiviti reka bentuk; pembinaan akan dimulakan selepas perjanjian itu ditandatangani; jumlah kapal dikurangkan daripada enam unit kepada lima unit dan harga kontrak disemak semula kepada RM11.2 bilion.

Perjanjian kontrak tambahan keenam yang dimeterai Boustead Holding Bhd (BHB) melalui anak syarikatnya, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dengan Kementerian Pertahanan itu turut memperincikan penyerahan projek dan tadbir urus dalam memulihkan projek LCS.

Selain itu, Adly berkata, antara penambahbaikan telah dibuat dalam SA6, termasuk kerajaan boleh terus membayar kepada pengeluar peralatan tulen (OEM) melalui Kementerian Kewangan tanpa orang tengah.

Menurutnya, bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan, empat jawatankuasa pemantau telah dibentuk iaitu Jawatankuasa Kerja di Peringkat Pasukan Projek; Jawatankuasa Teknikal LCS, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC).

Pada masa yang sama, katanya, model pembayaran juga ditambah baik daripada 'milestone payment' kepada 'progress payment' melalui perjanjian tersebut iaitu pembayaran hanya dibuat apabila sesuatu perkhidmatan atau kerja disempurnakan.

Mengulas status terkini bagi penyelesaian perjanjian antarabangsa yang melibatkan syarikat Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED), Adly memaklumkan bahawa transaksi tersebut tidak melibatkan kerajaan.

"Kerajaan tidak perlu menanggung sebarang pampasan kerana perjanjian itu merupakan urusan perniagaan syarikat dan di luar kontrak kerajaan," katanya. - Bernama