ALOR GAJAH - Dua beranak didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, pada Khamis atas tuduhan terlibat sebagai ceti haram dengan mengenakan kadar faedah lebih 100 peratus kepada peminjam.
P Devani, 53, berstatus ibu tunggal dan anaknya M Tachini, 25, yang bekerja sebagai kerani bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin dan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Berdasarkan pertuduhan, ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci didakwa memberi pinjaman kepada A Franciw Xavier, 41 dan S C Ramai, 26, sebanyak RM4,000 dan dikenakan kadar faedah sebanyak RM8,250.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Jalan Pengkalan Indah 16, Taman Pengkalan Indah di sini, antara Julai 2022 hingga Mac 2023.
Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan denda sehingga RM1juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Nurul Bahiyah, Tachini didakwa bersubahat dengan membenarkan akaun bank miliknya dalam aktiviti berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951(Akta 400) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29AA Akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Somsundram manakala mereka tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dan RM5,000 selain dilarang mendekati dan menganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 10 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.