[VIDEO] DAP perlu minta maaf kalau ikhlas nak bersahabat - Akmal

Iklan
Dr Muhamad Akmal semasa ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada Khamis. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Pemuda UMNO menuntut permohonan maaf daripada DAP dan menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap parti itu yang telah mengguris hati ahli sehingga kini.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan itu berupaya melembutkan hati ahli-ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika pemimpin DAP sanggup terbang ke Sarawak untuk berjumpa dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meminta maaf semasa ingin menubuhkan Kerajaan Perpaduan, tindakan sama patut dibuat terhadap UMNO.

"Kalau mahu lembutkan hati orang UMNO dan suci mahu menjalinkan tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik tohmahan yang diberi kepada UMNO dulu.

Iklan

"Kalau jujur, kenapa dengan GPS boleh, kenapa tidak buat dengan kita. Saya mohon kepimpinan DAP kalau mahu nak menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini, mahu hati orang UMNO lebur, maka satu tuntutan maaf daripada DAP atas tohmahan selama ini mesti dilakukan segera," katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada Khamis.

Tambah Muhamad Akmal, DAP juga perlu membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap-cakap tentang parti itu yang anti Melayu, anti Islam, perkauman serta berpusatkan komunis tidak akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.

Iklan

Jelasnya, ada kalangan ahli yang datang berjumpa, mengadu dan meluahkan perasaan risau apabila bersama DAP, ‘keris’ UMNO akan terperosok ke bumi.

"Bahasa mudahnya, akar umbi risau bila bersama DAP, UMNO sudah tidak boleh bercakap pasal hak istimewa orang Melayu, soal kedaulatan raja-raja, tak boleh tuntut isu agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu serta bumiputera.

"Mereka risau UMNO kena patuh dan ikut telunjuk DAP. Hari ini, Pemuda UMNO ingin tegaskan kita bersama Kerajaan Perpaduan adalah atas faktor titah Yang di-Pertuan Agong untuk kestabilan negara serta bersama untuk membentuk kerajaan.

"Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi sempadankan prinsip perjuangan. Kalau ada yang berani melintas, Pemuda UMNO yang pertama akan datang mencantas.

Muhamad Akmal turut menjelaskan, sayap Pemuda mengambil pendirian tidak menjemput parti Kerajaan Perpaduan bukanlah kerana tidak mahu bersama, tetapi percaya ada perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu di peringkat adik-beradik.

Katanya, ada kalangan ahli yang masih keliru dan mungkin tidak berpuas hati, jadi ruang ini untuk mereka meluahkan perasaan dan menyelesaikannya.

"Jangan tipu diri sendiri, berselindung di sebalik tabir, bertapis dan berlapik. Kita orang muda, mental kena kuat, jiwa kena kental, jangan cepat koyak.

"Saya faham, dalam rumah kita ini, ada yang resah, ada yang gelisah. Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba,” tegasnya.