GEORGETOWN - Meminati genre muzik K-Pop bukan penghalang bagi seorang pelajar untuk cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Pulau Pinang yang didudukinya tahun lalu.
G Bhuvenraj, 18, merupakan antara 19 pelajar terbaik SPM 2022 di Pulau Pinang yang memperoleh A dalam semua sembilan mata pelajaran yang diambil.
Bhuvenraj memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.
Pelajar Penang Free School itu berkata, dia tidak pernah menyekat minatnya itu semata-mata untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran, malah menjadikan minatnya sebagai meredakan tekanan selepas mengulangkaji pelajaran.
Kata anak tunggal itu lagi, ibu bapanya juga tidak pernah menghalangnya daripada meminati muzik tersebut asalkan tidak mengabaikan pelajaran.
"Saya meminati muzik K-Pop kerana muziknya yang unik. Kumpulan K-Pop yang diminati adalah Black Pink. Dengan mendengar muzik kegemaran saya ini, saya dapat 'release tension' selepas seharian belajar. Saya belajar seperti biasa, sama seperti rakan-rakan yang lain.
"Cuma saya lebih suka membuat soalan percubaan untuk meningkatkan pemahaman saya dalam satu-satu subjek. Saya juga ambil kelas tuisyen untuk lima subjek dan subjek paling susah bagi saya adalah Biologi.
"Saya juga dengar muzik sambil belajar membuatkan proses pembelajaran saya lebih menarik," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan SPM 2022 di Penang Free School di sini pada Khamis.
Pelajar aliran Sains itu berkata, dia bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level dan seterusnya ke peringkat universiti.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru, ibu bapa dan rakan-rakan sekolah lain yang banyak membantu saya sepanjang menghadapi peperiksaan,'' katanya.
Sementara itu, ibunya yang juga pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta, R Sunitha, 49, berkata, dia dan suaminya, K Ganesh tidak pernah mengongkong anaknya dalam menentukan kehidupan sehariannya.
"Saya dan suami memberi kebebasan kepada anak tunggal kami, kami tidak pernah menetapkan jadual untuk dia mengulangkaji pelajaran. Dia bebas untuk bersukan, mendengar muzik, beriadah mahu pun belajar.
"Kami tidak pernah mengongkongnya kerana tahu, dia boleh menguruskan dirinya dengan baik. Saya juga tidak pernah menetapkan jurusan terhadapnya kerana tidak mahu dia tertekan," katanya.
Kata Sunitha, pengorbanannya berhenti kerja sebagai pensyarah sepenuh masa untuk menumpukan perhatian kepada anaknya kini berbalas.
"Saya berkorban kerjaya saya demi anak dan hari ini, ia terbalas apabila Bhuvenraj berjaya menjadi salah seorang pelajar terbaik Pulau Pinang," katanya sebak.