Cadang rujuk kes penjawat awam ke Mahkamah Perusahaan

Iklan
Kula Segaran (tengah) merasmikan sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2019 di Stadium Indera Mulia, hari ini.

IPOH - Kementerian Sumber Manusia akan membawa cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk merujuk kes-kes melibatkan penjawat awam ke Mahkamah Perusahaan pada mesyuarat kabinet dalam masa terdekat.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, cadangan itu dilihat dapat membantu meringankan beban pekerja-pekerja terutama dalam membiayai kos guaman sekiranya diselesaikan di Mahkamah Perusahaan berbanding Mahkamah Tinggi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kakitangan kerajaan atau badan-badan berkanun yang bekerja telah diambil tindakan, kes akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

"Kos ini sangat tinggi dan ramai antara pekerja tidak mendapat nasihat atau berpeluang untuk membiayai kes ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.

Iklan

"Saya terima surat daripada Presiden Cuepacs mencadangkan kes-kes seperti ini dirujuk terus ke Mahkamah Perusahaan kerana ia melibatkan kos yang rendah dan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

"Cadangan itu sangat baik tetapi saya tidak boleh buat keputusan serta merta, saya perlu mendapat persetujuan dan perhatian dalam mesyuarat Kabinet serta Perdana Menteri," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja Cuepacs Peringkat Kebangsaan 2019 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama, Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda; Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Halim Mansor.

Sementara itu, Azih berkata, cadangan itu membolehkan pekerja membela diri daripada pertuduhan tanpa membebankan mereka.

"Seksyen 52 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, kakitangan kerajaan dan badan berkanun tidak boleh bawa isu pemecatan mereka atau apa-apa pertuduhan yang dikenakan dibawa ke Mahkamah Perusahaan sehingga mendapat perkenan daripada Yang Di-Pertuan Agong, baharu boleh bawa ke Mahkamah Tinggi.

"Jadi tidak adil kepada pekerja kerajaan, mereka membelanjakan kos yang tinggi untuk bela diri sedangkan pekerja sektor swasta tidak ada kos, boleh bawa isu mereka ke Mahkamah Perusahaan," katanya.

Katanya, cadangan itu diharapkan dapat diserap dalam perundangan pekerjaan untuk keadilan yang saksama.