ALOR SETAR - Silibus sejarah antara Kedah dan Pulau Pinang dalam buku teks perlu dibuat penambahbaikan agar tidak disalah ertikan oleh pihak tertentu.
Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang milik Kedah sebelum ini adalah berdasarkan fakta yang terdapat dalam sejarah.
Bagaimanapun katanya, terdapat pihak tertentu cuba mengolah sejarah terbabit mengikut fahaman mereka sehingga menimbulkan salah faham.
"Kalau kita hendak tahu perjalanan sesebuah sejarah atau tamadun kita kena tengok berdasarkan sejarah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan keputusan SPM di Dewan Maktab Mahmud pada Khamis.
Menurutnya, penambahbaikan dalam silibus perlu bagi memastikan tiada kekeliruan buat generasi akan datang tentang sejarah melibatkan dua negeri berkenaan.
"Paling tidak kena ada penambahbaikan kerana kadang-kadang sejarah itu diambil tebuk sana sini dan dibuat ulasan.
"Akhirnya menimbulkan kecelaruan ataupun ketidakfahaman terhadap apa sebenarnya yang berlaku di sebalik penulisan sejarah," ujarnya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi membuat kenyataan kontroversi bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah sehingga mengundang pelbagai pandangan berkaitan isu terbabit.