MAKKAH - Nur Saffiyah Nasuha Ramlan, 18, tidak menyangka menjadi pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist Raub, Pahang setelah memperolehi keputusan 8A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Khabar gembira itu dikongsikan ibu dan bapanya melalui panggilan video dari tanah air memandangkan Nur Saffiyah ketika ini berada di Tanah Suci bersama empat adik beradik dan abang iparnya bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
"Saya gembira kerana pertamanya dapat tunai haji pada usia muda dan pada masa sama mendapat keputusan cemerlang di bumi penuh barokah ini,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Berkongsi kejayaannya, Nur Saffiyah berkata, rahsia kejayaannya ialah fokus ketika cikgu mengajar di dalam kelas dan menyiapkan kerja rumah mengikut masa ditetapkan.
"Saya tak ikuti tuisyen di luar. Apabila lepas Maghrib akan mengaji al-Quran dan berdoa setiap masa agar cemerlang dalam akademik, siasah dan agama serta berjaya di dunia dan akhirat.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih ibu bapa, adik-beradik dan guru-guru sekolah yang tanpa penat lelah membantu saya,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Nur Saffiyah merancang untuk menyambung pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysai (UIA) dalam jurusan Asasi Ekonomi, Sains dan Pengurusan.
"Jika memperoleh tawaran ke luar negara saya berminat untuk sambung pengajian ke Kanada dalam bidang yang sama,” katanya.