SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pramugari Malaysia (Nufam) menggesa kerajaan melarang pelawak berasal dari Singapura, Jocelyn Chia daripada menaiki semua penerbangan Malaysia Airlines, termasuk melintasi sempadan Malaysia sehingga beliau memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
Menurut Sekretariat Nufam, tindakan Jocelyn yang mengutuk Malaysia dengan sinis dan jelek menggambarkan sikap sebagai seorang yang rasis.
"Tidak ada yang lucu apabila anda mempunyai keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam sebarang insiden kemalangan atau kehilangan jiwa semasa dalam penerbangan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut kenyataan itu menyebut, dalam klip video Jocelyn yang dilihat ketawa sambil berkata 'sesetengah jenaka tidak mendarat' jelas merujuk kepada penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China.
"Jocelyn Chia sebagai pelawak sudah melampaui batas apabila menyentuh isu MH370 secara sinis. Dia secara langsung telah melukakan perasaan keluarga, anak-anak dan rakan-rakan yang masih bersedih atas kehilangan MH370.
"Seorang pelawak profesional tidak perlu menjadi terlalu terdesak untuk mengubah tragedi menjadi satu bahan ketawa. Ia tidak profesional dan tidak sesuai sebagai bahan jenaka," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lawak melampau: Singapura mohon maaf
Malaysia kecam jenaka keterlaluan pelawak Singapura
Netizen kecam pelawak Singapura jadikan MH370 bahan jenaka
Guna MH370 bahan jenaka adalah keji, jijik - Isteri pramugara