Pekebun sayur rompak wanita dipenjara lima tahun, tiga sebatan

Iklan
Gambar hiasan

KANGAR - Seorang pekebun sayur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak dan mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita.

Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu terhadap Som Phong Chem, 26, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita berumur 22 tahun itu, berhampiran Pam Air Kampung Kok Klang, Jalan Felda Chuping, Arau pada 5.30 petang 4 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong memohon hukuman berat dan sebatan terhadap tertuduh agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Phong Chem yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Ahmad memohon hukuman ringan kerana tertuduh telah mengaku bersalah dan dia juga menjaga ibu yang kurang sihat. - Bernama

Iklan