JOHOR BAHRU - Seramai 1,129 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di negeri ini berjaya mencapai keputusan cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah), Anuar Sukiran berkata, daripada jumlah itu, 20 calon mendapat semua A bagi semua mata pelajaran diduduki.
Jelasnya, seramai 6,064 calon pula mendapat kepujian sekurang-kurangnya 1C manakala calon sekurang-kurangnya memperoleh 1G pula adalah 11,976 orang.
Tambahnya, seramai lima calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) pula mendapat keputusan cemerlang sekurang-kurangnya 7A dan lulus semua mata pelajaran.
"Indeks Gred Purata Nasional (GPN) Negeri Johor pada 2022 ialah 4.59, meningkat 0.16 mata berbanding 4.75 pada 2021. Indeks GPN SPM bagi Johor telah mengatasi pencapaian GPN Nasional iaitu 4.74.
"Berdasarkan kepada analisis pencapaian keputusan SPM mulai 2018 hingga 2021, pencapaian ini adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun dan GPN negeri telah mengatasi GPN Nasional selama sembilan tahun berturut-turut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman keputusan SPM 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) di sini, pada Khamis.
Menurut Anuar, terdapat 51 sekolah di negeri ini mencapai kelulusan 100 peratus layak mendapat sijil yang meliputi sekolah bandar dan luar bandar selain enam Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
"Secara keseluruhannya, terdapat seramai 41,389 calon hadir menduduki peperiksaan SPM 2022 yang berlangsung antara Januari hingga Mac lalu, berbanding jumlah calon berdaftar seramai 42,795 orang.
"Daripada jumlah itu, seramai 37,888 calon layak mendapat sijil bersamaan dengan 87.5 peratus," katanya.
Sekolah Tun Fatimah (STF) Johor Bahru muncul sekolah memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik di Johor iaitu 1.36 mata, diikuti Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur, Pontian dengan 1.4 mata dan Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi dengan 1.53 mata.