Penarik beca didakwa takutkan dan ugut isteri

Iklan
Shah Rizal (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.

MELAKA - Penarik beca dihadapkan ke mahkamah sesyen dan mahkamah majistret di sini, pada Khamis atas tuduhan menakutkan isteri dengan membakar sofa dan memecahkan siling serta mengugut mahu menyimbah petrol untuk bakar rumah.

Shah Rizal Ithnin, 43, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan yang dibacakan di hadapan Hakim Sabri Ismail dan Majistret Mazana Sinin.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan di mahkamah sesyen, dia telah melakukan khianat dengan api iaitu membakar sofa, rak pinggan dan barang dapur dengan maksud menyebabkan kerosakan terhadap isterinya, Sri Masturah Omar, 47.

Kesalahan itu dilakukan di alamat KM10, Balik Bukit, Bukit Lintang kira-kira jam 9 pagi pada 3 Jun lalu.

Iklan

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja melakukan khianat terhadap mangsa sama dengan cara memecahkan siling dan tingkap di bahagian dapur dan bilik rumah di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Iklan

Pendakwaan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan berasingan di hadapan Majistret Mazana, tertuduh berdepan pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya dengan maksud hendak menakutkan dengan cara mahu menyimbah petrol untuk membakar rumah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ruang tamu rumah beralamat KM10, Jalan Balik Bukit 2, Bukit Lintang, kira-kira pukul 2.20 petang pada 1 Jun lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan J Banusha tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin, manakala tertuduh tidak diwakil peguam.

10 Julai depan ditetapkan tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.