Ancaman jerebu akan berulang?

Iklan
Jumlah kebakaran di beberapa bahagian Sumatera dan Borneo meningkat daripada empat pada awal Mei kepada 16 pada awal bulan lalu. - Foto: Agensi

JAKARTA - Indonesia bersiap sedia menghadapi kemungkinan kebakaran hutan dan kawasan pertanian berskala besar yang dikhuatiri mencetuskan jerebu rentas sempadan selepas saintis meramalkan fenomena cuaca El Nino akan kembali pada separuh kedua 2023.

"Kita sudah melihat trend kebakaran yang semakin meningkat walaupun peralihan daripada musim hujan kepada musim kering," kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BPNB), Abdul Muhari yang merujuk jumlah kebakaran di beberapa bahagian Sumatera dan Borneo meningkat daripada empat pada awal Mei kepada 16 pada awal bulan lalu.

Iklan
Iklan

Beliau turut menjelaskan usaha mengawal kebakaran akan ditumpukan di enam wilayah iaitu Sumatera Selatan, Jambi, Riau, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Sementara itu, pakar klimatologi di Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Urip Haryoko pula memberitahu Indonesia bakal berdepan musim kemarau berpanjangan sehingga Mac atau April 2024.

Iklan

Bagi meredakan kebimbangan negara jiran di Asia Tenggara terhadap ancaman jerebu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan memberi jaminan mereka lebih bersedia pada kali ini.

"Kami mempunyai teknologi pengubahsuaian iklim untuk menghasilkan hujan lebih awal yang kemudiannya disimpan di dalam kolam yang akan digunakan untuk memadamkan kebakaran.

Iklan

"Saya percaya, jerebu bukan lagi jadi isu utama," tambahnya lagi. - Agensi

Info

>Kali terakhir kebakaran besar kawasan pertanian dan hutan berlaku pada 2019 ketika dua fenomena cuaca, El Nino di Pasifik dan positif Indian Ocean Dipole (IOD) yang akibatkan kemarau berpanjangan di Indonesia. Lebih 162,000 hektar kawasan tanah gambut dan hutan musnah.

>Dalam tempoh tiga tahun lalu, kebakaran hutan dan kawasan pertanian dilaporkan menurun berikutan fenomena La Nina yang membawa lebih banyak taburan hujan.

>Pada 2022, kebakaran hutan dan kawasan pertanian hanya memusnahkan 20,000 hektar tanah, kira-kira satu perlapan daripada jumlah pada 2019.