Penganggur mabuk ditahan selepas tumbuk pemilik kereta

Iklan
Soffian

GEORGETOWN - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di Lebuh Chulia dekat sini pada 7 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek merupakan warga tempatan berusia 56 tahun itu ditahan sejurus selepas kejadian berlaku.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum itu, polis menerima laporan mengenai satu kejadian pergaduhan yang mana suspek telah menumbuk muka dan kereta milik orang awam di kawasan berkenaan.

"Ketika kejadian, suspek yang tidak bekerja berada dalam keadaan mabuk. Suspek berasal dari negeri ini mempunyai satu rekod lampau melibatkan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, hasil ujian awal saringan air kencing suspek juga didapati positif dadah.

"Suspek kini direman empat hari sehingga 11 Jun untuk membantu siasatan.

Iklan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dari menjalankan kewajipannya," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan.

"Pihak polis turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video kejadian terbabit di mana-mana laman media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi," katanya.

Sebelum ini, satu klip video berdurasi tujuh saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @nanmanjoi8715 yang memaparkan pergaduhan melibatkan individu dipercayai mabuk di sebuah lokasi di negeri ini.

Polis mengesan video yang dimuat naik itu pada jam 9 pagi, Khamis.