SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkongsikan gambarnya sedang duduk semeja bersama Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad.
"Apa seterusnya?,” tulis beliau dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Perkara yang sama turut dikongsikan oleh Khairy Jamaluddin di Facebooknya.
Pada Isnin, perkongsian gambar Hishammuddin bersama sahabat baiknya, Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar telah mencuri perhatian netizen.
Ahli Parlimen Sembrong itu yang kini menjalani penggantungan daripada parti selama enam tahun mengambil peluang untuk melawat Noh di Tanjong Karang, yang dikatakan bakal menyertai Perikatan Nasional (PN).
Hishammuddin masih lagi aktif menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat walaupun digantung daripada parti.
Sementara itu, menurut Noh pula, meskipun beliau bukan lagi ahli UMNO manakala Hishammuddin masih bersama parti itu walaupun digantung keahlian, namun perjuangan mereka tetap sama.
Noh menegaskan, perjuangannya dan Hishammuddin yang juga bekas bosnya di Kementerian Pelajaran suatu ketika dulu tetap demi agama dan bangsa.