IMPIAN skuad hoki remaja wanita negara untuk layak ke Piala Dunia Remaja 2023 di Chile, Disember ini, tidak kesampaian setelah gagal melangkah ke separuh akhir Piala Remaja Asia 2023 di Kakamigahara, Jepun, pada Khamis.
The Young Tigress, kendalian Lailin Abu Hassan, tewas 1-3 kepada Korea Selatan pada aksi akhir Kumpulan A, sekali gus terlepas tiga kuota diperuntukkan bagi benua Asia ke Piala Dunia Remaja 2023.
Kemenangan tersebut membolehkan Korea Selatan dan India, masing-masing berkongsi 10 mata, dalam kumpulan tersebut mara ke separuh akhir.
India muncul juara kumpulan dengan perbezaan gol akan menentang naib juara Kumpulan B, Jepun manakala Korea Selatan berdepan juara bertahan dan juara kumpulan, China, pada peringkat separuh akhir, Sabtu ini.
Malaysia yang sebelum ini membenam Taiwan 7-0 dan Uzbekistan 12-0, selain dikecewakan India 1-2, menduduki tempat ketiga dengan enam mata.
Korea Selatan membuka jaringan seawal minit keempat menerusi pukulan sudut penalti Sujin An, sebelum Sungeun Song menggandakan jaringan menerusi satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-38.
Young Tigress yang tidak mengalah kemudian pantas merapatkan jurang dalam masa beberapa saat sahaja menerusi jaringan padang, Norshafiqha Ishak pada minit ke-38.
Ketika pasukan negara sedang mencari gol penyamaan, Korea Selatan terus meningkatkan jurang menerusi jaringan gol padang, Yujin Lee, pada minit ke-48 untuk mendapatkan tiga mata sekali gus meranapkan impian Malaysia ke separuh akhir.
Sebagai rekod, Young Tigress akan bertemu Hong Kong dalam aksi penentuan tempat kelima-kelapan pada Jumaat manakala Korea Selatan akan mencabar juara bertahan, China.
Sementara itu, Lailin meminta para pemain Young Tigress supaya tidak memandang mudah cabaran Hong Kong, selain mahu anak buahnya memberikan 100 peratus fokus dan usaha supaya dapat mara ke aksi penentuan tempat kelima-keenam.
"Walaupun tewas, pemain telah menunjukkan persembahan yang baik, beri tentangan yang hebat. Korea Selatan telah mula menyerang sejak wisel permulaan lagi, tapi kita berjaya kekang semua serangan mereka.
"Namun sedikit kelekaan pertahanan beri ruang kepada mereka jaring gol. Hong Kong mempunyai kekuatan yang baik, kita harus waspada dengan mereka dan pastikan mencatatkan kemenangan,” katanya.