PRN: Permohonan undi pos dibuka 15 Jun ini

Iklan
Permohonan undi pos untuk pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dibuka mulai 15 Jun ini.

PUTRAJAYA - Permohonan undi pos untuk pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dibuka mulai 15 Jun ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A, 1B dan 1C boleh dibuat menerusi pautan https://myspr.spr.gov.my.

Iklan
Iklan

Kategori 1A adalah petugas pilihan raya, anggota dan pegawai SPR serta petugas media.

Bagi kategori 1B pula adalah rakyat Malaysia yang tinggal di luar Negara manakala kategori 1C iaitu agensi dan organisasi.

Iklan

"Anggota polis dan tentera di bawah kategori 1A, kaedah permohonan undi pos dikekalkan secara manual menggunakan Borang 1A yang boleh dimuat turun dari portal https://www.spr.gov.my mulai tarikh sama," katanya.

Beliau berkata, Borang 1A hendaklah diserahkan kepada pegawai pengurus bahagian pilihan raya pemohon mengundi selepas mendapat perakuan oleh ketua jabatan masing-masing.

Iklan

"Sehubungan itu, SPR menggalakkan mereka untuk membuat pendaftaran akaun MySPR di pautan https://myspr.spr.gov.my lebih awal bagi membolehkan permohonan segera dapat dilakukan apabila tempoh permohonan undi pos dibuka kelak selain mengelakkan sebarang masalah sekiranya pendaftaran akaun MySPR pada saat akhir," ujar beliau.

Ikmalrudin berkata, tarikh tutup permohonan undi pos bagi kategori 1A adalah tiga hari sebelum hari penamaan calon, kategori 1B tiga hari selepas mesyuarat khas dan enam hari selepas mesyuarat khas bagi kategori 1C.

Tambahnya, tarikh mesyuarat khas urusan PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 bagi penetapan tarikh penting termasuk tarikh tutup permohonan undi pos dalam dan luar negara akan dimaklumkan kelak.

"Untuk penghantaran kertas undi pos kepada Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara, SPR menyeru kepada semua PTH Luar Negara untuk menghubungi SPR bagi menyemak alamat luar negara yang disimpan dalam rekod SPR serta mengemas kini alamat tersebut sekiranya telah berpindah atau kembali ke Malaysia.

PTH Luar Negara berkenaan boleh menghubungi talian 03-8892 7218 atau e-mel ke pthluarnegara@spr.gov.my selewat-lewatnya pada 23 Jun ini," katanya.