Tukang cuci ditahan rogol kanak-kanak

Iklan
Dzulkhairi Mukhtar

JOHOR BAHRU - Seorang tukang cuci berusia 59 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan kanak-kanak perempuan bawah umur, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki terbabit ditahan di tepi Jalan Bahagia 1, Lima Kedai, dekat Gelang Patah sekitar jam 2.30 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek memberi sewa bilik kepada keluarga kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu sejak lebih sebulan lalu.

"Ibu kanak-kanak terbabit telah diberitahu oleh anak perempuannya bahawa suspek telah bertindak membawanya masuk ke dalam tandas sebuah restoran berhampiran rumah dan merogolnya.

Iklan

"Suspek menutup mulut mangsa dengan menggunakan tangan selain memberi amaran agar tidak membuat bising dan memberitahu perkara itu kepada ibunya," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, bagaimanapun ibunya berasa hairan dengan perubahan tingkah laku anak perempuannya sehinggalah perkara sebenar diceritakan sekitar jam 3.30 petang, 29 April lalu.

Iklan

"Ibu terbabit telah membuat satu laporan polis sekitar jam 8.40 malam, pada hari yang sama," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek sering membawa mangsa untuk pergi makan di restoran berhampiran dengan tempat tinggalnya.

"Ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas suspek dan didapati negatif, selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau hasil semakan dilakukan.

"Pengakuan awal suspek mengaku terlibat dalam kes ini. Suspek ditahan reman mulai 1 hingga 6 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.