PARA penyokong Terengganu (TFC) diminta untuk memenuhi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, menjelang kunjungan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi aksi Liga Super pada Jumaat.
Itu harapan pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner, dalam usaha menyuntik semangat para pemain TFC yang masih mengekalkan rekod bersih di laman sendiri musim ini.
"Saya percaya kehadiran para penyokong setia TFC secara tidak langsung akan merangsang motivasi para pemain berdepan JDT.
"Semua orang tahu siapa JDT... Musim ini, mereka tidak kehilangan satu mata pun dan hanya melepaskan satu gol dalam Liga Super.
"Tetapi kami bersedia seperti biasa. Saya tidak mahu para pemain meletakkan diri mereka di bawah tekanan hanya kerana JDT adalah kelab yang dikendalikan dengan baik dan berjaya di Malaysia.
"Kami akan lihat apa yang boleh kami lakukan semasa perlawanan," katanya ketika ditemui di sesi latihan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak.
Sebagai rekod, perlawanan pusingan pertama sebelum ini menyaksikan JDT menewaskan TFC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari lalu.
Dalam pada itu, Steinbruckner mengakui skuad Penyu akan berdepan Harimau Selatan tanpa beberapa tonggak termasuk Liridon Krasnique kerana dia dipinjamkan dari kelab induk JDT.
"Liridon tidak boleh bermain kerana syarat pinjaman... juga dia telah menerima tiga kad kuning.
"Saya akan menggantikannya di bahagian tengah mungkin dengan Pusic atau pemain lain... kita akan lihat bagaimana," katanya, sambil menambah Penyu tanpa kelibat pertahanan Syafiq Ismail dan Sardor Kalmatov akibat kecederaan.