Kian Meng-Pei Jing berdepan 'kawan lama'

Iklan

DUA pasangan beregu campuran negara akan membuat perhitungan untuk merebut satu slot ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand di Stadium Eventfinda, Auckland.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan berdepan beregu profesional yang juga bekas rakan seperjuangan ketika bernaung di bawah bumbung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada aksi suku akhir, esok.

Iklan
Iklan

Bagi Pei Jing, beliau ternyata teruja dengan pertemuan esok memandangkan sudah sekian lama mereka tidak berentap di gelanggang pertandingan selepas kali terakhir pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2016 di Pulau Pinang.

Pada pertemuan separuh akhir itu, Kian Meng-Pei Jing berjaya mengatasi gandingan Peng Soon-Liu Ying 21-17, 21-16 untuk mara ke final.

Iklan

"Sebenarnya, saya tidak ingin memikirkan sangat-sangat tentang perlawanan esok. Buat persiapan seperti biasa. Rancang permainan sebelum bermula...berehat secukupnya, makan secukupnya... bersiap-sedia.

"Saya sangat teruja kerana sudah lama benar kedua-dua pasangan beregu ini tidak berjumpa dalam pertandingan antarabangsa. Jadi, kami berharap dapat mempersembahkan permainan yang baik esok dan mengekalkan momentum kami,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Iklan

Terdahulu, Kian Meng-Pei Jing yang berada di ranking ke-20 dunia, memerlukan hanya 29 minit untuk mengetepikan lawan dari Indonesia Akbar Bintang Cahyono-Annisa Saufika 21-13, 21-10 pada aksi pusingan kedua, hari ini.

”Untuk perlawanan hari ini, pemain lawan adalah pasangan beregu baru dan gandingan mereka belum mantap. Kami bermain sebagaimana yang telah dirancang dan terus mantap..sentiasa fokus pada keseluruhan perlawanan,” katanya.

Sementara itu, pasangan Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan selaku pilihan kedua tidak menghadapi masalah untuk menewaskan beregu tuan rumah Edward Lau-Alyssa Tagle 21-17, 21-15.

Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia turut mengesahkan tempat ke suku akhir selepas berdepan tentangan sengit daripada pemain Jepun Kazumasa Sakai, sebelum mencatat kemenangan 23-21, 21-16.

Dalam pada itu, gandingan profesional negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula mengetepikan pasangan India Attri Manu-Reddy B. Sumeeth 21-17, 21-19 dalam saingan beregu lelaki pada pusingan kedua hari ini. Sementara itu, pasangan Ong Yiew Sin-Teo Ee Yi yang turut mara ke suku akhir bakal berdepan halangan sukar berdepan pilihan ketiga dari Jepun Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe, esok.

Yiew Sin-Ee Yi melepasi halangan pusingan kedua selepas mengalahkan Akbar Bintang Cahyono-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia 21-13, 21-15.

Naib juara All England 2019, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula terpaksa berhempas pulas mengharungi tiga set sebelum mara ke suku akhir.

Dalam aksi pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik menundukkan pasangan Jepun Mahiro Kaneko-Yunosuke Kubota 21-18, 17-21, 21-11.

Satu-satunya pasangan beregu wanita negara Vivian Ho-Yap Cheng Wen pula gagal melepasi halangan meskipun hampir mencipta kejutan di pusingan kedua.

Pasangan negara itu memberi tentangan hebat sebelum tunduk 18-21, 20-22 kepada pilihan pertama dari Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota. - Bernama