CRISTIANO Ronaldo melihat kemungkinan untuk memiliki sebuah kelab bola sepak selepas bersara nanti.
Pemain kelahiran Portugal berusia 38 tahun itu berkata, memiliki sebuah kelab bola sepak menjadi keutamaannya selepas merancang untuk bersara dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
"Saya tidak menolak untuk menjadi pemilik kelab. Ia sesuatu yang saya fikirkan beberapa tahun lalu.
"Saya mungkin ingin memiliki kelab bola sepak. Saya berada di penghujung karier saya, maksimum dua hingga tiga tahun lagi," katanya.
Dalam pada itu, Ronaldo yang menandatangani kontrak dengan Al Nassr pada Januari selepas meninggalkan Manchester United, meraikan keputusan bekas rakan sepasukan di Real Madrid iaitu Karim Benzema untuk menyertai Liga Pro Saudi.
Benzema, 35, membatalkan kontrak selama setahun bersama Real dan menandatangani kontrak dengan juara Arab Saudi, Al Ittihad.
"Saya tahu perpindahan saya ke Arab Saudi akan membuka laluan dan saya tidak salah.
"Saya pasti dalam tempoh beberapa tahun lagi, liga ini akan menjadi salah satu liga terpenting di dunia.
"Karim sudah pergi dan saya 1,000 peratus pasti yang lebih ramai pemain akan turut serta," kata Ronaldo.
Sergio Ramos, Jordi Alba, Sergio Busquets, N'Golo Kante, Angel Di Maria, Iago Aspas dan Roberto Firmino juga dilaporkan akan menyertai kelab di Liga Pro Saudi.