MANCHESTER City tidak akan memandang rendah keupayaan Inter Milan ketika pasukan itu sedang bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada Ahad.
City adalah pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan Eropah itu buat kali pertama sekali gus melengkapkan treble di Istanbul.
"Anda tidak akan layak ke final Liga Juara-Juara tanpa berada di kedudukan teratas.
"Saya rasa mereka (Inter) memenangi (piala) berganda di Itali. Mereka pada dasarnya telah memenangi setiap perlawanan pada akhir musim.
"Mereka mempunyai sistem, gaya mereka dan melakukan apa yang mereka lakukan dengan sangat baik dan saya tidak rasa sesiapa pun akan berfikir bahawa ia akan menjadi perlawanan yang mudah menentang Inter. Ia adalah perlawanan akhir jadi ia bermula 50-50," kata pemain tengah City, Kevin de Bruyne.
City telah lama mendambakan kejayaan Liga Juara-Juara tetapi sering gagal untuk menjulang piala tersebut dengan momen paling hampir ketika menjadi naib juara, tewas kepada Chelsea pada 2021.
"Saya telah berada di sini (City) lapan tahun dan ia adalah sesuatu yang luar biasa. Bolehkah saya datang ke sini dan memikirkan jumlah perlawanan dan trofi yang akan kami menangi dalam lapan tahun? Mungkin tidak.
"Akhirnya kami mempunyai kerjaya yang cukup mengagumkan di City, tetapi kami belum menang (Liga Juara-Juara) dan ia adalah sesuatu yang kami mahu menang," katanya.