GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang telah menahan dua bot nelayan tempatan dan menahan 10 nelayan Myanmar di Pulau Kendi pada petang Khamis.
Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abdul Razak Mohamed berkata, bot pertama iaitu kelas B1 ditahan di kedudukan 14 batu nautika dan bot kedua, kelas C ditahan di kedudukan 15.5 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 2.40 petang.
"Tangkapan tersebut dilakukan semasa kita melaksanakan rondaan rutin di bawah Ops Tiris dan Ops Pertiwi di perairan pulau berkenaan.
"Pada mulanya pasukan bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 sedang menangkap ikan sebelum kita mendekati untuk melakukan pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh lima nelayan termasuk tekong warga Myanmar.
"Pemeriksaan juga mendapati hasil tangkapan kira-kira 400 kilogram (kg) ikan campur ada bersama mereka. Sementara itu, tangkapan kedua pula dibuat pada jam 3 petang oleh pasukan Maritim Malaysia yang sama.
"Pemeriksaan lanjut mendapati lima nelayan warga Myanmar serta hasil tangkapan ikan dianggarkan sebanyak 500kg berada bersama mereka," katanya.
Abdul Razak berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan 26 hingga 58 tahun.
"Mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Sementara itu, kedua-dua bot tersebut disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa kebenaran dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit yang sah.
"Nelayan, bot dan hasil tangkapan ikan campur sejumlah 900kg ditahan dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk tindakan lanjut," katanya.