PRN: Selangor sudah ada beberapa pilihan tarikh bubar DUN

Iklan
Amirudin (kiri) mengadakan tinjauan dan lawatan pada Majlis Pengenalan SABDA di Nazbell Cottage and Garden, Sungai Besar.

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor sudah mempunyai beberapa tarikh sesuai untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum pembubaran secara automatik 25 Jun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, permohonan pembubaran DUN itu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Iklan
Iklan

"Kita sudah ada beberapa pilihan tarikh (tetapi) yang pastinya kita akan cuba buat sebelum 25 (Jun) ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) di Nazbell Cottage and Garden, Sungai Besar di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, kuasa Menteri Besar adalah membuat permohonan pembubaran DUN untuk dipersembahkan serta diperkenan oleh Sultan Selangor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Iklan

Amirudin memberitahu, beliau juga akan berbincang dengan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tarikh sesuai pembubaran DUN Selangor.

"Saya perlu merujuk Presiden (PKR) yang sudah bertemu dengan Tuanku (Sultan Selangor) baru-baru ini," ujarnya.

Iklan

Selain Selangor, lima negeri lain yang akan mengadakan PRN adalah Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah.