KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Berat lagi mata memandang, berat lagi memikul. Itulah yang dapat digambarkan keadaan Abu Bakar Ibrahim, 54, yang berdepan dengan dugaan berat kehilangan tiga anak lelaki akibat kemalangan di Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sepakat di sini pada Khamis.
Walaupun reda dengan kejadian menimpanya sekeluarga, Abu Bakar tidak dapat menggambarkan rasa sebak apabila salah seorang daripada tiga anaknya iaitu Allahyarham Ahmad Jazuly Abu Bakar yang maut bersama dua abangnya, Muhammad Solihin, 21, dan Muhammad Firdaus, 28, genap usianya ke-17 tahun pada Khamis.
Abu Bakar berkata, anak lelaki bongsunya yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini ada menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp memberitahu tentang hari jadinya itu selain mengucapkan terima kasih dan memberitahu dia gembira pada hari itu.
"Dia juga ada meminta kasut sebagai hadiah sebelum kejadian.
"Terkilan juga kerana saya tidak bersama mereka ketika itu sebaliknya berada di Terengganu atas urusan kerja," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setajam di sini pada Jumaat.
Jenazah tiga beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 12.30 tengahari.
Ketiga-tiga jenazah dibawa dari Hospital Rompin ke Surau Kampung Setajam menggunakan tiga van jenazah untuk disembahyangkan sebelum dihantar ke tanah perkuburan itu.
Abu Bakar yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, seorang lagi anaknya, Muhammad Solihin yang menuntut di Politeknik Muadzam Shah sedang menjalani peperiksaan akhir semester lima.
Menurutnya, anak ketiganya itu pulang ke Rompin pada hari sama selepas tamat peperiksaan dan sepatutnya pulang ke kampus pada Jumaat untuk menghantar tugasan projek.
"Dia juga ada hantar pesanan WhatsApp kira-kira jam 5 pagi pada hari kejadian untuk mengucapkan terima kasih kerana sentiasa mendoakannya dan mengakui tenang sepanjang menghadapi peperiksaan.
"Dia memang selalu menghubungi saya bertanya khabar, namun tidak sangka pesanan yang diterima awal pagi itu adalah yang terakhir," ujarnya.
Abu Bakar berkata, kali terakhir dia bertemu anak-anaknya pada penghujung Mei lalu sebelum ke Terengganu.
Menceritakan peristiwa sebelum kejadian, ketiga-tiga anaknya dikatakan pergi menguruskan sawah milik keluarga di Kampung Setajam.
"Muhammad Firdaus yang juga orang kurang upaya (OKU) turut bersama menaiki lori manakala ibu mereka dan anak perempuan (anak bongsu) berusia 16 tahun pergi menaiki kereta berasingan.
"Sepatutnya mereka pergi ke sawah hari ini (Jumaat) namun mengubah fikiran dan menyelesaikan kerja itu semalam (Khamis).
"Ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Sungai Kolek sebelum terbabit nahas," jelasnya.
Abu Bakar menyifatkan, semua anak lelaki itu anak-anak yang baik, ringan tulang dan rapat dengan keluarga.
"Mereka juga mesra dan disenangi penduduk kampung dan rakan-rakan.
"Kehilangan tiga anak lelaki serentak sekelip mata memang dugaan berat buat saya dan keluarga namun reda dengan ketentuan Allah itu," katanya.
Dalam nahas melibatkan lori dan sebuah kren kira-kira jam 7.20 petang Khamis itu, Muhammad Solihin yang memandu lori jenis Toyota Hiace tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Muhammad Firdaus dan Muhammad Jazuly yang parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.
Pemandu kren, Mohd Termizi Gulam Nabi,38, cedera.