UMNO perlu menang dulu kerusi PRN Pulau Pinang - DAP

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai masalah untuk menempatkan wakil UMNO dalam pentadbiran negeri ini selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, parti itu perlu menang kerusi yang ditandingi sebelum diberikan jawatan exco dalam kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

"Ini selari dengan pemuafakatan yang dicapai untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Jadi pemuafakatan dan kerjasama ini akan diteruskan menjelang PRN dalam keenam-enam negeri ini, ia tertakluk kepada keputusan (PRN nanti).

"Maka apa yg dinyatakan oleh Presiden UMNO merupakan satu kenyataan yang menggambarkan senario politik terkini yang membawa parti-parti dalam satu gabungan baharu.

Iklan

"Jadi saya kata tertakluk kepada keputusan, maka apa yang berlaku adalah pembentukan kerajaan negeri yang baharu," katanya selepas Program The Stem Talent Development Initiatives By Persatuan Alumni Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Confucian di sini pada Jumaat.

Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melibatkan wakil UMNO dalam kepimpinan tiga negeri yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Iklan

Perkara itu disentuh Ahmad Zahid ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Agung UMNO yang turut dihadiri Anwar yang juga Presiden PH di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara.

Dalam pada itu, ditanya apa akan berlaku sekiranya tiada wakil UMNO yang menang dalam PRN nanti, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai undang-undang untuk melantik ahli yang baharu tanpa memenangi kerusi dalam PRN.

"Tadi saya kata ia tertakluk kepada keputusan, jika tiada orang (wakil UMNO) menang, mereka tidak dapat berada dalam barisan exco sebab kita tidak ada undang-undang untuk melantik ahli baharu tanpa menang dalam pilihan raya (negeri).

"Ini hakikat politik, UMNO perlu menang," katanya.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, kerajaan negeri sudah berada dalam mod kerjasama di peringkat kerajaan Persekutuan dan ia akan diperhebatkan setelah selesai PRN nanti.

"Sebenarnya kita dah berada dalam mod kerjasama di peringkat Persekutuan dan memang sepanjang tujuh bulan ini, jalinan kerjasama sudah terbentuk baik di peringkat Persekutuan mahu pun negeri.

"Mungkin di peringkat negeri akan dapat diperhebatkan setelah PRN nanti," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, tiada lagi rundingan dalam pengagihan kerusi di peringkat negeri yang mana, keputusan akan dibuat oleh Majlis Presiden.

"Rundingan di peringkat negeri, kita percaya ia perlu diputuskan oleh Majlis Presiden. Di peringkat negeri, saya rasa tiada keperluan lagi untuk rundingan.

"Rundingan adalah satu proses dan saya percaya setelah beberapa kali rundingan, kerusi-kerusi yang dapat ditawarkan kepada setiap parti tidak akan memuaskan setiap parti tetapi pada keseluruhannya, adalah satu gandingan yang boleh ditampilkan untuk rakyat buat keputusan.

"Mengenai kerusi yang akan diberikan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) pengumuman akan dibuat apabila rundingan di peringkat pusat telah dinoktahkan," katanya.

Sebelum ini, MIC dan MCA Pulau Pinang telah meminta beberapa kerusi untuk ditandingi dalam PRN akan datang.

Permintaan itu dibuat dalam mesyuarat antara PH dan BN Pulau Pinang pada 20 Mei lalu.

Bagaimanapun Kon Yeow berkata, rundingan mengenai kerusi masih dijalankan dan keputusan muktamad belum dibuat.