Pesawah padi kecewa air tidak dapat disalurkan

Iklan
Petani melihat tapak sawah mereka yang mengalami kelewatan penanaman padi akibat masalah saliran air di Kampung Tebing, Napoh pada Jumaat.

KUBANG PASU - Seramai 20 pesawah meluahkan rasa kecewa selepas berlaku kelewatan tanaman semula padi musim pertama tahun ini akibat masalah air tidak dapat disalurkan ke petak sawah di Kampung Tebing di Napoh, dekat sini.

Tanaman padi berkeluasan kira-kira 30 hektar yang diusahakan mereka kini telah mengalami kelewatan dua bulan dari jadual asal penanaman disebabkan masalah tersebut.

Iklan
Iklan

Seorang petani, Roslan Kasim, 61, mendakwa, masalah itu berpunca daripada kegagalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyelenggara kawasan saliran di kawasan tali air berhampiran.

Dia yang telah mengusahakan tanaman padi sejak 20 tahun lalu berkata, saliran tersebut sebelum ini telah diselenggara setahun sekali tetapi pada tahun ini, kerja penyelenggaraan itu tidak berjalan sehingga menyebabkan saliran menjadi semak dan menghalang aliran air.

Iklan

"Masalah petani di sini kerana air tak sampai jadi parit menjadi semak. Kalau boleh kami mahu air ini boleh salur dalam parit ini," katanya semasa ditemui di Kampung Tebing, dekat sini pada Jumaat.

Seorang lagi petani, Lim Kim Lai, 68, pula berharap agar masalah tersebut selesai segera kerana mereka telahpun mengalami kerugian semasa mengusahakan sawah pada musim lalu.

Iklan

"Di sini rumput menyebabkan parit jadi cetek dan air tak boleh salur. Saya minta kerajaan buat bagi elok. Petani jadi susah nak buat apa pun tidak boleh sekarang ini," ujarnya.

Bagi Mustafa Ali, 61 pula, kerja-kerja mengusahakan tanaman padi kali ini dijangka berdepan kesukaran selepas tempoh penanaman tidak sama waktu antara petak sawah berhampiran.

Katanya, petak sawah jiran sudah melaksanakan proses menanam kerana memiliki jumlah air mencukupi dan dia bimbang akan terlepas tanaman pada kali ini.

Othman (kiri) bersama petani meninjau Rumah Pam JPS di Kampung Tebing, Napoh pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun, Othman Awang ketika ditemui berkata, JPS diminta untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut.

"Saya menyeru kepada JPS Kubang Pasu khususnya agar dapat menyelia ataupun menyelenggara tali air ini dengan lebih sempurna dan dapat membekalkan air kepada petani untuk melakukan kerja sawah mereka," kata Othman.