KUALA LUMPUR - Laungan supaya tindakan perundangan diambil ke atas pelawak berasal dari Singapura, Jocelyn Chia terus berkumandang ekoran kebiadabannya mencemuh dan mencaci Malaysia baru-baru ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan keras untuk mengharamkan Jocelyn Chia masuk ke negara ini, selain mengambil tindakan perundangan ke atas wanita tersebut.
Beliau berkata, bukan sahaja tiada sebarang kompromi, malah pelawak itu harus menerima akibat terhadap perbuatan biadabnya yang mengguris hati rakyat Malaysia.
"Jelas dan nyata, perbuatannya itu langsung tidak mencerminkan sikap sensitiviti terhadap rakyat Malaysia.
"Malah lawak keterlaluan membabitkan kehilangan pesawat MH370 ternyata melukakan hati waris mangsa.
"Untuk itu, tindakan keras termasuk mengharamkan Jocelyn Chia masuk ke Malaysia adalah satu tindakan tepat, selain kerajaan perlu mengambil tindakan perundangan ke atasnya," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar semasa perhimpunan dan perarakan aman Pemuda UMNO ke kedutaan Amerika Syarikat (AS), dekat sini bermula jam 2.10 petang.
Hadir sama Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Nicole Wong dan Setiausahanya, Daniel Wa.
Dalam perhimpunan aman tersebut, dua wakil Pemuda UMNO dibenarkan untuk bertemu wakil kedutaan AS bagi menyerahkan memorandum bantahan.
Perhimpunan tersebut adalah anjuran Sekretariat Media Pemuda UMNO Malaysia.
Hampir 100 orang ahli Pemuda UMNO bersama rakan komponen Barisan Nasional (BN) hadir menyatakan sokongan.
Muhamad Akmal berkata, isu melibatkan Jocelyn Chia itu mendapat reaksi penuh daripada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Kata beliau, ia terbukti dengan kehadiran rakan komponen BN dalam perhimpunan tersebut bagi menyatakan rasa kesal terhadap lawak keterlaluan Jocelyn Chia mencerca negara dan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu mengambil serius perkara ini demi hubungan baik Malaysia dan Singapura, meskipun Jocelyn Chia bukan lagi rakyat republik tersebut.
"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan tindakan tegas perlu segera diambil supaya kita tidak dilihat lemah apabila maruah negara dipermainkan.
"Malah Pemuda UMNO sama sekali tidak akan berlembut di dalam perkara yang menyentuh kedaulatan Malaysia tercinta," ujarnya.