KUALA LUMPUR - Barisan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang akan bersara pada Sabtu ini berkata, beliau yakin Abdul Hamid akan menjalankan tugas menerajui pasukan itu dengan baik dalam tempoh jawatannya.
"Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan Datuk Seri Abdul Hamid Bador akan mengambil alih pucuk pimpinan PDRM, jadi diharapkan barisan pucuk pimpinan yang ada akur dengan keputusan kerajaan.
"Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada beliau atas pelantikannya sebagai Ketua Polis Negara ke-12," katanya pada sidang media sempena acara jualan buku Mes PDRM Pada Era 100 tahun di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Ditanya mengenai pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu pula, Mohamad Fuzi berkata perkara itu juga masih dalam proses dan pelantikan akan dibincangkan bersama oleh Abdul Hamid dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar.
"Selain itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman turut akan diambil alih oleh kepimpinan yang baharu," kata beliau yang merujuk kepada kekosongan jawatan berkenaan, yang sebelum ini dipegang oleh Abdul Hamid.
Mohamad Fuzi yang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara sejak 4 September 2017 berkata semua proses itu merupakan proses normal yang perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini berkata, Abdul Hamid yang kini memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dilantik secara kontrak sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa Sabtu ini.
Abdul Hamid yang dilahirkan pada 7 Ogos 1958 di Kuala Lumpur sepanjang kariernya pernah memegang pelbagai jawatan penting, antaranya Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar (E3), Bahagian Ancaman Ekstremis Luar dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.
Terdahulu, Mohamad Fuzi melancarkan jualan Buku Mes PDRM Pada Era 100 Tahun yang akan dijadikan bahan rujukan mengenai sejarah pasukan itu sejak zaman British.
Buku berkonsepkan 'pictoral' yang dijual dengan harga RM250 senaskah itu merupakan inisiatif Anggota Jawatankuasa Mes yang menerbitkan buku berkenaan sebagai usaha untuk memartabatkan PDRM melalui sorotan sejarah kewujudan Mes Pegawai Kanan Polis. - Bernama