Negeri Sembilan promosi keunikan adat perpatih

Iklan
Aminuddin (dua dari kiri) ketika melihat panta dan jambar yang merupakan salah satu keunikan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan menjadikan Perpatih Fest 2023 sebagai acara tahunan negeri ini dalam mempromosikan keunikan sistem Adat Perpatih kepada pihak luar khususnya generasi muda.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program ini juga merupakan acara tambahan dalam kalendar pelancongan negeri 2023.

Iklan
Iklan

"Kita merasakan perlu diadakan setiap tahun, mungkin akan diadakan di daerah-daerah yang lain supaya mereka lebih dekat, boleh merasa sendiri apa yang dimaksudkan dengan Adat Perpatih.

"Selain itu, Perpatih Fest ini bakal memberi pengalaman gastronomi kepada pengunjung melalui program promosi makanan Negeri Sembilan dan bakal memberi pengalaman yang unik kepada pengunjung untuk mencuba permainan tradisi Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpatih Fest 2023 di Muzium Negeri di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam majlis sama, dua rekod Malaysia dicipta dan dicatat dalam Malaysia Book of Records melalui Masakan Kari Kepala Kambing Terbanyak dan Panta dan Jambar Terbanyak.

Sembilan Identiti Negeri Sembilan turut dilancarkan merangkumi adat (Adat Perpatih), seni bina (Rumah Tradisonal Bumbung Panjang), makanan tradisional (gulai kuning).

Iklan

Sementara itu, Aminuddin berkata, Adat Perpatih adalah bercorak matrilineal yang mengambil garis keturunan suku dari sebelah ibu berbeza dengan menitikberatkan Adat keturunan Temenggung sebelah yang bapa.

"Dalam konteks masyarakat Adat Perpatih terdapat 12 suku iaitu Biduanda, Batu Hampar, Mungkal, Seri Lemak, Paya Kumboh, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka dan Tiga Batu.

"Keindahan Adat Perpatih bukan sahaja dapat dilihat pada nilainilai murni dan peraturan hidup yang dijunjung tinggi oleh pengamalnya yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

"Malah ia jelas dapat dilihat pada semangat permuafakatan yang ditunjukkan antara satu sama lain oleh dato ’dato ’ penyandang pesaka adat dan soko dalam menjayakan program ini," katanya.

Acara dengan peruntukan RM500,000 melalui Belanjawan 2023 bertemakan ‘Seadat Tidak Seresam’ itu menyasarkan kira-kira 10,000 pengunjung hadir pada program tersebut yang berlangsung bermula Jumaat hingga Ahad ini.