Isteri cedera, suami pula dikhuatiri lemas

Iklan
Mangsa lelaki masih belum ditemui manakala isterinya cedera selepas tercampak daripada bot yang dinaiki di Sungai Melayu, Pulau Sebatik.

TAWAU - Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala isterinya cedera selepas tercampak daripada bot yang dinaiki dalam kejadian di Sungai Melayu, Pulau Sebatik, di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa wanita dikenali sebagai Lina Arifin mengalami kecederaan di bahagian kaki manakala suaminya, Abd Rahim Kasil, 56, belum ditemui ketika ini.

Iklan
Iklan

Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dengan menaiki bot dari Tawau Lama menuju ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sepasukan anggota dikejar ke lokasi sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

Iklan

"Seorang saksi memaklumkan bahawa sebuah bot jongkong membawa muatan botol kosong yang dinaiki sepasang suami isteri dari Kampung Titingan telah melanggar sesuatu objek dan menyebabkan bot mereka hilang kawalan.

"Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa tercampak ke laut. Mangsa wanita yang mengalami kecederaan di kaki sempat diselamatkan oleh nelayan yang berada di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Tawau manakala suaminya belum ditemui sehingga kini," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Sehubungan itu, Shahrizan berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) digerakkan bersama pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.

Katanya, maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa berhubung SAR seorang lagi mangsa berkenaan.